GENTING HIGHLANDS: Sekurang-kurangnya dua individu maut manakala puluhan lagi masih tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di sebuah tapak perkhemahan di Jalan Batang Kali, Gohtong Jaya, pada awal pagi Jumaat.

Wartawan Astro AWANI yang berada di lokasi melihat sendiri jasad mangsa diletakkan di satu khemah kecil yang didirikan bersebelahan lokasi terbabit.

Bagaimanapun pihak polis masih belum memberikan pengesahan berkaitan identiti mangsa yang maut itu, setakat jam 8 pagi ini.

Difahamkan juga jumlah keseluruhan pengunjung yang berada di tapak perkhemahan itu adalah seramai 79 orang manakala pekerja tapak perkhemahan adalah seramai 15 orang.

Seramai lebih 200 anggota dan pegawai pelbagai agensi seperti bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam telah berada di lokasi untuk kerja-kerja penyelamatan.


Anggota penyelamat sedang giat melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan. - Foto BERNAMA

Setakat ini 37 individu berjaya diselamatkan dalam kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan itu, yang terletak berhampiran sebuah ladang organik di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Genting Highland.

BACA: Tanah runtuh: 37 berjaya diselamatkan di tapak perkhemahan

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 2.24 pagi selain ketinggian runtuhan dianggarkan setinggi 30 meter dengan anggaran keluasan runtuhan satu ekar,

BACA: Tanah runtuh: 69 orang dikhuatiri tertimbus di tapak perkhemahan Batang Kali

Ketika ini kawasan berkenaan telah ditutup kepada orang awam dan dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus sedang giat dijalankan.