Ringkasan AI
- Teknik Jetting: Pasukan SAR menggunakan teknik jetting atau penyemburan tekanan air tinggi di lurang kumbahan berhampiran bangunan Wisma Yakin. Teknik ini bertujuan untuk memecahkan objek keras yang terdapat dalam paip pembentungan di lokasi kejadian.
- Teknik Flushing: Operasi flushing yang dimulakan sejak Ahad melibatkan sepuluh lurang kumbahan. Teknik ini masih diteruskan untuk membersihkan dan mencari petunjuk mengenai mangsa.
- Pasukan Khas: Pasukan khas yang terdiri daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia ditubuhkan untuk menjalankan kajian struktur tanah di sekitar kawasan kejadian.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, teknik itu digunakan selepas pasukan SAR mendapati terdapat objek keras tersekat di lurang kumbahan terbabit ketika operasi dijalankan antara pukul 3 pagi dan 6 pagi Isnin.
"Sekarang ini tiada sebarang petunjuk yang ditemui dan Indah Water Konsortium (IWK) menggunakan teknik 'jetting' iaitu penyemburan tekanan air yang tinggi untuk memecahkan objek keras yang berada dalam paip pembetungan di lokasi kejadian.
"Teknik ini, kita tumpukan di manhole di Wisma Yakin ketika ini kerana awal pagi tadi kita menggunakan camera crawler bergerak ke dalam pembentungan kita masukkan di Wisma Yakin dalam jarak empat meter, kita nampak serpihan objek batu yang keras.
"Jadi dengan menggunakan teknik jetting untuk pecahkan serpihan objek supaya bila pecah, air itu akan turun ke bawah dan apa jua objek termasuk badan manusia akan melepasi objek ini," katanya pada sidang media di sini, pada Isnin.
Mengulas mengenai teknik 'flushing' yang dijalankan sejak Ahad, Sulizmie Affendy berkata, ia masih diteruskan sehingga kini melibatkan 10 lurang kumbahan.
Menurutnya lagi, sebuah sebuah pasukan khas yang dianggotai Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia ditubuhkan untuk menjalankan kajian struktur tanah terutamanya di sekitar kawasan kejadian.
Dalam kejadian pada pagi Jumaat lalu, mangsa dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang dipercayai terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.