KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bersetuju untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga India yang hilang dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India pada Jumaat lepas.


Ringkasan AI
  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) bersetuju untuk meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang wanita warga India yang hilang dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India pada Jumaat lepas.
  • Pasukan penyelamat masih bersemangat untuk teruskan pencarian. Menteri meminta agar kita sama-sama mendoakan agar mangsa ditemui.
  • Lokasi kejadian di Jalan Masjid India telah ditutup, dan orang awam diminta untuk menjauhinya. Operasi SAR telah berlangsung selama tujuh hari tetapi wanita warga India yang hilang masih belum ditemukan.


Persetujuan itu dikongsikan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman pada sidang media di lokasi kejadian pada Khamis.

Menurutnya, menteri mengeluarkan keputusan itu selepas mendengar taklimat daripada semua agensi penguatkuasaan yang terlibat dalam operasi berkenaan.

“Agensi yang terlibat dalam pencarian ini telah beri taklimat segala tindakan yang diambil untuk mengesan mangsa.

“Menteri telah bersetuju untuk pihak penyelamat meneruskan pencarian mangsa yang hilang.

“Sekarang apa yang boleh katakan, pasukan penyelamat masih dalam keadaan bersemangat untuk teruskan pencarian ini.

“Sama-sama kita doakan agar mangsa ditemui dan kita akan meneruskan pencarian di sini,” katanya.

[TERKINI] Perkembangan operasi SAR di Jalan Masjid India


Dalam pada itu, ketika ditanya adakah akan ada lagi jalan ditutup akibat tanah mendap, beliau memaklumkan setakat ini yang ditutup hanyalah jalan di Masjid India, dari lokasi kejadian hingga ke simpang di lokasi Semua House.

Pada masa sama, beliau sekali lagi meminta kerjasama orang awam untuk menjauhi lokasi kejadian.

“Saya mohon kerjasama daripada semua orang supaya menjauhi kawasan mendapan tanah dan patuhi arahan pihak berkuasa.

“Mana-mana kawasan yang ada garisan kuning, janganlah lintas. Saya tak mahu berlaku perkara tidak diingini kepada orang awam,” ujarnya.

Masuk hari ketujuh operasi SAR, mangsa, wanita warga India, Vijayaletchumy, 48, masih belum ditemukan sehingga kini.