JELI: Rakyat Kelantan diingatkan supaya terus berhati-hati terhadap penularan wabak COVID-19 yang masih menjadi ancaman kepada negara meskipun akan memasuki tahun baharu 2022.

Menteri Besarnya Datuk Ahmad Yakob berkata prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu sentiasa dipatuhi bagi mengekang penularan wabak itu.

"Kita masih dalam wabak COVID-19 dan bencana banjir, kita perlu muhasabah diri menjelang sambutan tahun baharu ini dengan mengadakan solat hajat dan munajat daripada mengadakan majlis lain," katanya selepas menyampaikan bantuan sumbangan bekalan makanan asas kepada mangsa banjir di Masjid Kampung Lakota, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai Kelantan yang akan memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 3 Jan depan, Ahmad bersyukur dengan peralihan tersebut tetapi meminta rakyat di negeri itu agar tidak terlalu berasa selesa.

"Kita jangan berasa selesa, kita masih dalam wabak COVID-19 ditambah lagi dengan varian baharu, Omicron, ia satu ujian kepada kita selain perlu sabar dan mengikut segala peraturan ditetapkan," katanya.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju supaya Sarawak dan Kelantan, beralih ke Fasa Empat PPN Isnin ini.

-- BERNAMA