Syarikat perbankan Royal Bank of Scotland (RBS) menjadi pengguna terbesar 'Facebook At Work', apabila 30,000 kakitangannya bakal menggunakan platform berkenaan pada Mac 2016.

Menurut laporan laman web Tech Crunch, bank berkenaan mahu kesemua 100,000 kakitangannya untuk menggunakan media sosial itu pada akhir 2016.

Ketua Pegawai Pentadbir RBS Simon McNamara berkata ramai pekerja menggunakan tekonologi di luar pejabat dan mereka mahukan perisian dan perkakasan yang mudah dan menyeronokkan.

“Hampir semua menggunakan Facebook di luar pejabat jadi saya tidak perlu latih sesiapa,” McNamara.

Tambahnya, maklumat yang terkandung di laman Facebook At Work milik RBS sebelum ini mungkin dikongsi di laman web rasmi mereka atau menerusi emel.

“Emel kini seperti satu platform di mana mereka tidak baca lagi,” jelasnya yang dipetik dalam laman web itu.

Facebook At Work merupakan versi Enterprise kepada platform media sosial yang mempunyai 1.49 bilion pengguna aktif dari seluruh dunia.

Lapor Tech Crunch, setakat ini Facebook At Work mempunyai 300 pelanggan.

Ia masih percuma namun Facebook mempunyai perancangan untuk mengenakan bayaran terhadap perkhidmatan Facebook At Work.

Facebook At Work membenarkan kakitangan untuk mengikuti perkembangan masing-masing di pejabat selain daripada menyertai kumpulan, atau Group, berdasarkan projek atau jabatan.