Tinjauan yang dilakukan oleh Dewan Perniagaan Amerika Malaysia (AMCHAM) mendapati bahawa 82 peratus syarikat anggotanya di Malaysia telah melaporkan kerugian yang besar.

Ia berkata kira-kira satu pertiga responden mengalami kerugian lebih dari RM10 juta pada setiap dua minggu ketika sekatan terhadap aktiviti perniagaan dilaksanakan.

Kaji selidik itu yang dijalankan daripada 17 hingga 24 April 2020, juga menunjukkan sejumlah besar responden (16 peratus) kebanyakannya syarikat multinasional (MNC) telah melaporkan kerugian melebihi RM500 juta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa.

"Sebagai jalan penyelesaian jangka pendek untuk mengurangi impak akibat pandemik itu, majoriti responden telah mempertimbangkan untuk melakukan langkah-langkah penjimatan kos dan pelarasan bagi strategi perniagaan jangka panjang mereka, sambil merancang prosedur operasi standard (SOP) baharu untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pekerja semasa krisis.

"Walaupun menghadapi cabaran ini dan mencerminkan perspektif jangka panjang melibatkan syarikat-syarikat Amerika Syarikat (AS) yang melabur di Malaysia, sebahagian besar majikan dapat mengelakkan pemberhentian pekerja atau melaksanakan cuti tanpa gaji yang wajib diambil," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

AMCHAM menjalankan Kajian Impak Perniagaan COVID-19 dan PKP komprehensif untuk lebih memahami bagaimana pandemik itu dan tindak balas dasar kerajaan telah mempengaruhi aktiviti perniagaan dan rancangan pelaburan ahli-ahlinya.

Ia berkata syarikat-syarikat global menilai semula rancangan pelaburan mereka sebagai tindak balas terhadap wabak tersebut, dan separuh daripada responden tinjauannya menjangkakan akan mengurangkan pelaburan mereka di Malaysia pada tahun 2020 dan 20 peratus lagi merasakan terlalu awal untuk memberi komen.

Syarikat-syarikat juga mengambil langkah untuk mengkaji semula strategi rantaian bekalan mereka untuk memastikan kelangsungan perniagaan di masa depan dan AMCHAM melihat beberapa penyesuaian mungkin akan berlaku seperti pergerakan sumber atau perubahan terhadap operasi pengujian dan pemasangan, katanya.

Sebilangan besar responden menunjukkan bahawa mereka bekerja secara meluas dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan untuk menyokong operasi mereka di Malaysia dan sebab itu perniagaan tempatan ini juga mungkin mengalami kerugian yang besar jika penyesuaian terhadap rantaian bekalan perlu dilakukan.

Selain itu, syarikat-syarikat AS menekankan perlu ada ketelusan mengenai dasar semasa yang berkaitan dengan PKP agar kegiatan perniagaan di pelbagai sektor dapat disambung semula kembali dengan cepat dengan mengutamakan keselamatan.

"Pada masa yang unik ketika ini juga membuka pintu peluang dan beberapa minggu lepas telah menunjukkan kekuatan jalinan kerjasama. AMCHAM berharap dapat meneruskan penglibatan aktif kami dengan kerajaan untuk mencari penyelesaian yang pragmatik.

"Melalui perkongsian yang kukuh antara sektor awam dan swasta Malaysia, antarabangsa dan tempatan, kami dapat memastikan bahawa ekonomi dinamik Malaysia terbukti berdaya tahan pada masa-masa yang mencabar ini dan berada dalam kedudukan yang kuat untuk membawa kekayaan baharu," kata Ketua Pegawai Eksekutif AMCHAM Siobhan Das.

Keahlian AMCHAM terdiri terutamanya daripada syarikat multinasional AS yang besar. Sebanyak 114 responden mengambil bahagian dalam tinjauan semasa fasa ketiga PKP dan hampir separuh daripada responden berasaskan kepada industri elektrik dan elektronik dan semikonduktor.

Tinjauan ini merangkumi 43 pertanyaan untuk mendapatkan maklum balas mengenai kesan COVID-19, serta pelaksanaan PKP kepada perniagaan masing-masing.

Ini termasuk isu-isu yang berkaitan dengan operasi dan rantaian bekalan, sumber manusia dan unjuran pelaburan.

-- BERNAMA