SIBU: Seorang daripada dua beradik yang ditahan reman atas dakwaan terbabit sindiket penyeludupan diesel bersubsidi dan rasuah pegawai penguat kuasa dibebaskan hari ini.

Majistret Oon Kork Chern memerintahkan wanita berusia 39 tahun itu dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, abang wanita berkenaan yang berusia 42 tahun masih ditahan reman empat hari sejak Isnin.

Menurut sumber SPRM, pasangan adik-beradik itu ditahan bersama dua lelaki dan seorang wanita lain di depoh simpanan diesel di Sungai Bidut semasa operasi 'Op Liter' yang dijalankan SPRM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Hidup (KPDN).

Tiga suspek juga dibebaskan dengan jaminan SPRM sebelum ini.

Kesemua mereka dipercayai sebahagian sindiket menyeleweng minyak diesel bersubsidi untuk nelayan yang dijual dengan harga lebih tinggi kepada pembeli di luar negara.



SPRM-DIESEL 2 (AKHIR) SIBU



Sindiket yang dipercayai beroperasi sejak 2012 itu mengaut keuntungan hingga RM400 juta dan disyaki membayar rasuah kepada pegawai penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan kerana menyimpan diesel tanpa permit sah.

Dalam operasi Ahad lepas, SPRM merampas wang tunai kira-kira RM3.7 juta, dua tongkang, dan 30 tangki simpanan minyak dipercayai mengandungi kira-kira 1.6 juta liter diesel.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA