ALOR GAJAH: Suspek pembunuhan kejam guru wanita, Istiqomah Ahmad Rozi, 33 tahun tiba di Mahkamah Alor Gajah, untuk pertuduhan.

Suspek tiba di pekarangan mahkamah di sini dengan menaiki kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan diiringi oleh anggota Pasukan Siasatan Jenayah (CID), jam 9.05 pagi.

Suspek yang juga bekas guru itu dibawa ke mahkamah dengan memakai baju-T berwarna biru gelap dan berseluar pendek.

Astro AWANI sebelum ini melaporkan misteri penemuan mayat tanpa kepala, kaki dan tangan yang di sumbat dalam tong sampah dan dibuang ke longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, di sini 31 Disember lalu terjawab apabila ia disahkan milik guru wanita iaitu Allahyarham Istiqomah.

Ia disahkan berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan terhadap ibunya pada 2 Ogos lalu mendapati ia sepadan dengan mangsa yang dilaporkan hilang sejak 27 Disember tahun lalu.

Risikan yang dijalankan pasukan polis Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah telah berjaya menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia 36 dan 37 tahun.

Suspek lelaki yang juga bekas guru itu kemudian direman sejak 6 Ogos lalu sebelum dilanjutkan tujuh hari lagi sehingga 19 Ogos ini.

Penahanan suspek utama itu membawa kepada penemuan beberapa bahagian lagi anggota badan mangsa termasuk tulang jari dan kepala di kawasan sekitar enam kilometer dari tempat mayat mangsa dijumpai.

Jenazah guru wanita itu dijangka akan dituntut oleh warisnya di Hospital Melaka hari ini sebelum difahamkan akan dibawa kebumi di kampung halamannya di Pasir Mas, Kelantan.