Ringkasan AI
- Suspek kes tembakan di pusat beli-belah Setia Alam, Shah Alam, ditembak mati di Pulau Ketam selepas berbalas tembakan dengan polis. Suspek menginap di sebuah hotel di Pulau Ketam sebelum kejadian.
- Seorang penduduk mendakwa suspek mencari khidmat bot untuk ke Thailand kerana pasportnya disenarai hitam. Suspek tiba di Pulau Ketam dengan feri dari jeti.
- Suspek memiliki 15 rekod jenayah dan dadah serta dikehendaki atas pelbagai kesalahan termasuk pengedaran dadah. Suspek berusia lingkungan pertengahan 30-an dan terlibat dalam kes tembak di pusat beli-belah di Setia Alam pada 8 Februari.
Tanpa mengetahui lelaki itu merupakan suspek yang diburu membabitkan kes tembak di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Shah Alam, 8 Februari lalu, penduduk yang enggan dikenali berkata, suspek datang kepadanya pada petang Isnin.
"Saya bertanya semula kenapa tidak naik kapal terbang, dia beritahu pasport kena 'blacklist' (senarai hitam).
"Saya diberitahu dia datang sini (Pulau Ketam) naik feri dari jeti," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
Sementara itu, pekerja hotel yang mahu dikenali sebagai Mr Cha, 30-an berkata, suspek mendaftar masuk ke hotelnya kira-kira jam 5.15 petang pada Isnin untuk penginapan selama tiga hari.
Katanya, lelaki itu datang seperti pengunjung biasa sahaja.
"Dia (suspek) pakai topi, selipar macam biasa sahaja. Saya nampak dia pegang satu beg plastik.
"Sangat terkejut bila berlaku kejadian tembakan di bilik hotel. Pertama kali berlaku kes macam ini, sebab kita pun tidak tahu dia 'wanted'," katanya yang mendakwa suspek menginap di bilik tingkat bawah.
Jelasnya, waktu kejadian dia mendengar beberapa das tembakan sebelum polis mengarahkan penghuni bilik dan pekerja hotel keluar selepas insiden itu sebagai langkah keselamatan.
Sebelum itu, dalam sidang akhbar di Jeti Pulau Ketam, Pelabuhan Klang pada Selasa, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan suspek ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di sebuah bilik hotel di Pulau Ketam, kira-kira jam 3 pagi.
Dalam kejadian itu, suspek berusia lingkungan pertengahan 30-an itu disahkan terbabit dalam kes tembak di pusat beli-belah di Setia Alam, Shah Alam.
Suspek memiliki 15 rekod jenayah dan dadah selain dikehendaki atas pelbagai kesalahan termasuk pengedaran dadah. -Sinar Harian
