Pihak polis percaya dapat menyelesaikan kes bunuh seorang warga Indonesia selepas memberkas seorang lelaki berumur 27 tahun yang dipercayai suspek kejadian itu.

Suspek yang juga warganegara Indonesia ditahan kira-kira 6 pagi tadi selepas polis menerima laporan mengenai pembunuhan seorang lelaki berumur 28 tahun pada pukul 2.10 pagi tadi.

"Siasatan yang dijalankan mendapati mangsa telah ditetak dua kali iaitu di bahagian dada dan leher menggunakan sebilah parang panjang kira-kira jam 1.50 pagi tadi," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah, Datuk Salehhudin Abdul Rahman dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Salehhudin mangsa ditetak hingga mati selepas motosikal yang dinaikinya bersama seorang rakan rakyat tempatan ditahan suspek di sebuah lokasi ketika dalam perjalanan ke pusat bandar Lahad Datu.

Katanya turut dirampas daripada suspek ialah sepasang pakaian dan sebilah parang yang disyaki digunakan ketika melakukan jenayah berkenaan.

Salehhudin berkata siasatan awal pihaknya mendapati motif pembunuhan adalah balas dendam kerana mangsa dan suspek pernah bergaduh di satu majlis perkahwinan sebelum kejadian. -- BERNAMA