Polis mendapatkan perintah tahanan reman selama empat hari ke atas seorang remaja bagi membantu siasatan berhubung kes cubaan mencabul seorang pelajar tahun dua sebuah sekolah di Dungun Isnin lalu.

Majistret Hazwani Hasain Bustari membenarkan permohonan itu selepas pemuda berusia 19 tahun itu dibawa polis ke Mahkamah Majistret Dungun, jam 10.45 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Ahmad Zailani Yaacub dilaporkan berkata perintah tersebut dikeluarkan bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengenai kes itu.

"Saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek juga mendapati ia positif dengan dadah jenis methamphetamine," katanya.

Isnin lalu seorang murid dilaporkan dicabul dalam stor sekolahnya oleh individu yang tidak dikenali kira-kira pukul 1.30 tengah hari ketika tamat persekolahan sesi pagi dan menunggu bermulanya kelas petang.

Suspek menyerah diri pada pukul 4.15 petang semalam di balai polis di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana niat mencabul.