Seorang suspek lelaki yang bertindak membakar seorang bilal Masjid Hasanah, di Taman Rakyat Mergong, di sini pagi tadi telah berjaya ditahan dalam tempoh enam jam.



Suspek ditahan polis tidak jauh dari lokasi kejadian.



Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, suspek ditahan jam 1.30 petang ketika dalam keadaan khayal dipercayai dibawah pengaruh dadah.


Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk siasatan lanjut.

Kata Mohd Rozi, hasil siasatan awal suspek mengaku tidak mensasarkan sesiapa secara khusus dan mengaku membakar bilal terbabit.

Motifnya kerana suspek menyimpan dendam terhadap Ahli Jawatankuasa Masjid berkenaan ekoran permohonan bantuan suspek tidak diterima.

"Hasil siasatan mendapati motif kejadian adalah kerana suspek dipercayai berada dibawah pengaruh dadah dan dipercayai mempunyai masalah mental yang mana suspek dikatakan tidak gemar melihat individu yang merupakan ahli jawatan kuasa masjid ataupun tidak gemar melihat masjid itu sendiri disebabkan masalah yang dihadapi olehnya akibat daripada pengaruh dadah serta masalah mental," katanya.

Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati positif dadah jenis methaphetamine.

BACA: Bilal masjid melecur disimbah minyak sebelum dibakar

Jelas Mohd Rozi dari rekod, suspek pernah ditangkap dipercayai terbabit melakukan perbuatan khianat membakar peralatan masjid di Tok Keling, Alor Mengkudu pada tahun lalu.

Mohd Rozi juga menepis dakwaan timbul isu perkauman dalam kes ini dan mangsa bukanlah sasaran suspek, namun disebabkan kemarahan suspek kepada jemaah masjid, bilal itu menjadi mangsa.

Setakat ini mangsa masih dirawat di Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) akibat melecur 25 peratus di bahagian muka, belakang, tangan dan kaki mangsa.

Katanya, polis turut menemui bukti pakaian mangsa yang terbakar dan motosikal yang digunakan suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di masjid berkenaan.

Suspek akan direman esok untuk membantu siasatan.

Polis percaya suspek menggunakan petrol untuk melakukan perbuatan membakar bilal berkenaan berdasarkan penemuan botol dan minyak di lokasi kejadian.


Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian jam 5.45 pagi tadi mangsa, Amri Budin, 60, yang juga bilal masjid disimbah petrol dan dibakar sewaktu berjalan memasuki perkarangan masjid.