Shafiqa Shafie, 37, berkata dia bersyukur sempat berlari keluar dalam kejadian jam 2 petang itu.
“Saya sedang berbaring dalam dalam bilik sebelum dengar bunyi seperti lori tak boleh brek. Saya bangun hendak tengok melalui tingkap dan terkejut treler itu sudah terlalu hampir dan sudah ada (rempuh) tempat letak kereta di depan rumah.
"Dalam keadaan terkejut saya berlari ke dapur dan terus keluar melalui pintu belakang dan menjerit meminta tolong,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Isnin.
Ketika kejadian, Shafiqa tinggal bersendirian sementara suaminya, Mohd Shahrul Md Wazir, 35, yang juga pemandu lori ketika itu keluar bekerja.
Katanya, dia tidak melihat keadaan pemadu kontena selepas kejadian itu kerana masih terkejut. Katanya, pemandu itu dibawa mendapatkan rawatan oleh ambulans yang datang tidak lama kemudian.
Kejadian itu turut mengakibatkan sebuah Produa Axia dan motosikal Benelli miliknya mengalami kerosakan dihempap bumbung rumah.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, mengesahkan kejadian.
Katanya, polis akan menahan pemandu treler warganegara Thailand yang memandu treler berkenaan dan ujian air kencing akan dilakukan terhadapnya sejurus dia selesai menerima rawatan di sebuah klinik.