ASSALAMMUALAIKUM YB,

Semoga YB berada dalam peliharaan Allah selalu.

Saya terpanggil untuk menulis surat ini kepada YB atas beberapa sebab.

Pertama, kerana YB dan saya berkongsi ‘alma mater’ yang saya iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) walaupun kita tidak pernah bertemu dan bersua muka di UIA.

Kedua, kerana kita pernah bertemu di No 4, Clarence Street, Bowburn, DH6 5BB Durham, United Kingdom ketika YB mengiringi pasukan debat UIA menyertai pertandingan di sana.

Sewaktu itu, YB baru diangkat menjadi Ketua Armada BERSATU & berkongsi dengan kami warga Durham perkembangan semasa politik tanahair. Saya kagum dengan semangat yang ditunjukkan oleh YB pada ketika itu.

Ketiga, kerana semangat orang muda yang ada pada diri YB itulah, saya dan anak-anak muda yang lain di luar sana yang mengimpikan sebuah negara Malaysia yang lebih harmoni, aman, sejahtera dan makmur.

Umum mengetahui, YB mencipta sejarah sebagai Menteri termuda pernah dilantik di peringkat Persekutuan. Syabas diucapkan.

Dengan harapan adanya orang muda seperti YB, corak pemikiran, cara bekerja dengan semangat yang ada mampu dijadikan teladan dan contoh kepada ramai anak muda di luar sana. YB pada bila-bila masa boleh menjadi ‘role model’ dan inspirasi kepada anak-anak muda.

Namun, dengan berlakunya beberapa insiden sejak dilantik menjadi Menteri di peringkat Persekutuan, saya cuma berpandangan, banyak yang YB boleh perbaiki dan pelajari.

Pada zaman kuasa berada di hujung jari dan kecanggihan teknologi maklumat dan media sosial, YB sehabis baik mengoptimumkan platform yang ada seperti Instagram, Twitter & Facebook untuk berkongsi aktiviti-aktiviti YB dengan pengikut, penyokong tegar juga pengundi-pengundi YB.

Namun, secara peribadi, saya berpandangan, sebagai seorang Menteri di peringkat Persekutuan, YB seharusnya lebih bijak dan matang dalam menapis apa yang ingin dikongsikan.

Contoh terkini, apabila tular gambar YB mengisi minyak di stesen minyak Petronas ‘en route’ ke Cameron Highlands, @teamsyedsaddiq telah dikecam dengan hebatnya kerana penggunaan telefon bimbit di stesen petrol. Perkara yang berlaku adalah ‘common sense’ dan masuk akal apabila @teamsyedsaddiq sendiri menerima teguran daripada Petronas Brands.

Sesuatu yang sangat asas dan berbahaya iaitu penggunaan telefon bimbit di stesen minyak. Seharushnya YB & ‘team’ YB perlu jadi lebih bijak dalam berkongsi maklumat di media sosial. YB & ‘team’ sendiri yang mengundang kritikan netizen, bukan orang lain yang sengaja mencipta isu melainkan ada duri dalam daging di dalam ‘team’ YB sendiri.

Terdahulu, tular gambar YB tidak berbaju suatu waktu dahulu menjalani terapi ais selepas bermain bola sepak. Niat YB adalah semata-mata ingin berkongsi dengan netizen. Namun, jika diukur dengan kedudukan YB sebagai seorang Menteri persekutuan, adakah wajar dan perlu untuk berkongsi sesuatu yang boleh mengundang kritikan dan membuka kepada pintu-pintu fitnah?

Rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu sangat sensitif dengan isu adab. Adab kepada orang tua, adab dengan guru-guru, adab dengan orang yang lebih muda. Tindakan tersebut telah mengundang kecaman netizen yang tidak kurang hebatnya. Semoga pada masa hadapan, YB boleh berfikir apakah kesan, akibat dan konsekuensi atas segala tindakan YB.

YB harus membezakan diri YB daripada ‘geng budak-budak baru nak up (BBNU)’ di mana segala benda ingin dikongsi di laman sosial semata-mata untuk berkongsi dan berlumba-lumba mengejar jumlah ‘likes’. Mereka bukan Menteri di peringkat Persekutuan, tetapi YB adalah seorang Menteri.

Selayaknya ada garisan pemisah halus antara karakter seorang Menteri dan orang biasa walaupun difahamkan YB lebih selesa dengan menggelarkan diri sebagai ‘bro’ dan meminta staff di Kementerian juga memanggil YB dengan nama sedemikian.

Namun, satu perkara yang harus mendapat pujian adalah keberanian dan kelantangan YB bersuara. YB berani menegur pemimpin veteran dalam BERSATU dan kita sememangnya memerlukan lebih ramai anak muda yang berani menegur ‘orang-orang lama’ jika kita mahu melihat sebuah negara Malaysia yang benar-benar berintegriti dan disegani ramai.

Sudah berlalu zaman ‘yes boss’ jika sesuatu yang dilakukan oleh ‘boss’ kita adalah salah, tidak tepat atau kurang molek. Orang lama tidak semestinya sentiasa betul dan orang muda tidak selalunya benar. Hikmah dan kebijaksanaan orang lama perlu diadun dengan kepintaran dan keberanian anak muda untuk menghasilkan satu gandingan yang mantap dalam memimpin ummah.

YB juga dilaporkan sering mengadakan ‘lawatan mengejut’ bagi melihat sendiri keadaan semasa infrastuktur sukan yang pada pandangan saya sesuatu yang harus diteruskan. Umumnya, agensi-agensi kerajaan akan menunjukkan segala-gala yang terbaik dan indah-indh belaka jika ada lawatan Menteri dirancang lebih awal.

Namun, jika lebih kerap lawatan-lawatan luar jangka ini diadakan, YB selaku Menteri akan dapat melihat sendiri keadaan sebenar di luar sana.

Saya mendoakan agar YB terus dikurniakan Allah dengan kesihatan yang baik bagi mendepani hari-hari mendatang yang penuh cabaran, onak dan liku. Semoga tahun 2019 membuka lembaran baru kepada YB untuk menjadi insan yang lebih matang dalam membuat segala keputusan baik keputusan peribadi, mahupun yang melibatkan rakyat. Semoga segala urusan YB dipermudahkan-Nya.

Salam hormat,
Hanif Mohsein Mohd Fauzi
Petaling Jaya