KEMELUT Taman Alam Kuala Selangor (KSNP) yang merupakan satu-satunya 'tangki oksigen' berbaki di kawasan hutan paya bakau banjar selatan, kini menjadi tumpuan bicara dalam kalangan aktivis dan penduduk sekitar sejak akhir Mei lepas. Apakah pembangunan yang dicadangkan itu memang diinginkan penduduk? Persoalan ini dikupas dalam bahagian akhir laporan khas.
"Sekiranya hutan paya bakau Taman Alam (Kuala Selangor) diteroka untuk pembangunan, di mana lagi nelayan kecil seperti pak cik nak cari makan? Kehidupan nelayan di sini sudah semakin susah kerana hasil tidak lagi seperti dulu."
Nada kebimbangan nelayan pantai Kahar Buntal, 69, jelas kedengaran di sebalik bunyi enjin bot yang agak membingitkan telinga ketika dia ditanya tentang ura-ura pembangunan Taman Alam Kuala Selangor (KSNP) sebagai pusat pelancongan bertaraf antarabangsa.
Bernama berpeluang mengikut anak jati Kuala Selangor itu menyauk kerang di Sungai Buloh, Jeram, bersebelahan Sungai Selangor baru-baru ini.
Bapa kepada empat orang anak itu pada awalnya terdiam apabila mendengar soalan tersebut sambil melontarkan pandangannya jauh ke dalam hutan yang selama ini menjadi satu-satunya "periuk nasi" dia sekeluarga.
Hutan KSNP yang berkeluasan lebih kurang 292 hektar yang terletak di muara Sungai Selangor bersebelahan Bukit Melawati dan terkenal sebagai lokasi transit burung migrasi itu adalah hutan yang masih berbaki di kawasan hutan paya bakau banjar selatan daerah berkenaan.
Ini berikutan wujudnya aktiviti guna tanah secara agresif di sepanjang pantai paya bakau Sungai Selangor hingga Sungai Buloh, Jeram, sekali gus menjadikan KSNP ekosistem penting bagi pembiakan sumber laut.
"Hutan paya bakau memang amat penting buat nelayan kerana di sinilah tempat ikan, udang berlindung dan membiak. Tetapi sejak pembangunan rancak di kawasan sekitar, hasil tangkapan tidak lagi sebanyak dulu, malah aktiviti penangkapan ikan sudah semakin sukar akibat pencemaran.
"Pak cik tidak tahu punca pencemaran tetapi sejak adanya kilang kitar semula dan aktiviti penternakan udang serta ikan, kualiti air jauh berbeza berbanding sebelum ini yang jernih. Jadi, sekiranya hutan Taman Alam ini dibangunkan pastinya keadaan akan menjadi lebih teruk lagi," katanya.
BUKAN LAGI UTAMA
Memang benar keluhan dan kebimbangan datuk kepada 10 orang cucu itu apabila Bernama melihat sendiri kesukaran lelaki ini sepanjang memerah keringat hampir satu jam di perairan berhampiran KSNP mencari hasil kerang ketika bahang mentari begitu terik menyengat kulit.
Lebih banyak 'sampah' dan kulit kerang-kerangan berbanding hasil, kata Kahar yang mengaku keadaan sebelum 2015 tidak seteruk ini kerana jumlah kerang yang diperoleh boleh mencecah lebih 50 guni dalam masa dua jam sahaja, jauh berbeza yang ketika ini begitu sukar untuk mendapatkan 10 kilogram.
Malah, boleh dikatakan hasil diperoleh ketika itu 'lumayan' bagi kalangan nelayan pantai seperti Kahar yang turut sama mengusahakan kebun kerang, namun dia berkata kesukaran tersebut menyebabkan pekerjaan nelayan ketika ini hanya dijadikan sebagai sampingan sahaja.
"Ramai yang sudah tidak mengusahakan lagi kebun kerang disebabkan susah nak dapatkan hasil walaupun Kuala Selangor sebelum ini terkenal sebagai pusat penghasilan penting sumber tersebut, dan macam pak cik, pekerjaan utama sekarang adalah membawa pelancong menyusuri sungai, melihat burung hijrah di Taman Alam.
"Ramai pelancong khususnya (dari) luar negara suka dengan aktiviti alam semula jadi di Taman Alam dan KSNP antara sumber pendapatan utama buat pak cik dan juga nelayan lain. Jadi, jika dibangunkan Taman Alam, apa lagi yang tinggal buat kami," keluhnya.
Pentingnya hutan paya bakau ini kepada komuniti setempat turut diakui pakar tadbir urus persekitaran di Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman yang menyatakan hutan tersebut mempunyai nilai ekonomi tinggi selain berfungsi sebagai pelindung semula jadi kepada bencana alam.
Ini kerana, ia menyediakan sumber ekonomi sama ada daripada sumber perikanan, kayu arang ataupun ekopelancongan kepada penduduk setempat, dan sepertimana yang diketahui, KSNP merupakan antara lokasi penting laluan 'East Asian-Australian Flyway' burung migrasi dari Oktober hingga Mac.
Selain kaya dengan khazanah flora dan fauna endemik seperti burung upeh yang kini diancam kepupusan, rama-rama jenis mangrove tiger butterfly, lotong kelabu yang hanya boleh ditemukan di Kuala Selangor dikenali Trachypithecus selangorensis dan juga habitat memerang terancam.
Antara spesies memerang terancam di sini ialah memerang licin (smooth-coated otter), memerang kecil (Asian small-clawed otter) dan memerang hidung berbulu (hairy-nosed otter), dan kerana itu KSNP menjadi tumpuan pencinta alam semula jadi, penyelidik tempatan serta luar negara.
KERUGIAN BESAR
"Jika KSNP dibangunkan, maka ia merupakan satu kerugian besar kerana kesemua fungsi dan perkhidmatan ditawarkan oleh hutan ini akan lenyap bersama arus pembangunan, dan kerana itu amat penting ekosistem unik ini dikekalkan tanpa dikacau ganggu dan diasak oleh sebarang aktiviti pembangunan.
"Bukan sahaja hutan bakau di KSNP tetapi sekiranya kawasan hutan bakau di sesuatu tempat itu pupus atau tercemar, keseluruhan populasi ikan dan industri nelayan di kawasan itu akan terancam kerana tiada lagi tempat bagi anak ikan membesar serta hilangnya nilai ekopelancongan," katanya.
Menurut Haliza, keuntungan daripada kegiatan perikanan di kawasan bakau mencecah berjuta-juta ringgit setahun, malah 42 peratus daripada tangkapan ikan di pantai barat Semenanjung Malaysia adalah ikan yang mempunyai hubungan rapat dengan paya bakau.
Kerana itu beliau berpandangan status KSNP sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK) penting dipertahan selain turut bersetuju dengan cadangan MNS untuk menjadikan Taman Alam sebagai Tapak Ramsar seperti Tasik Bera di Pahang dan Sungai Pulai di Johor.
Apatah lagi, kata Haliza, keluasan hutan bakau di Malaysia telah berkurangan daripada 467,760 hektar kepada 409,290 hektar dalam tempoh 30 tahun lepas.
Situasi tersebut semakin membimbangkan kerana lebih 50 peratus hutan jenis berkenaan di Semenanjung Malaysia diancam dan sedang mengalami kemusnahan, katanya.
Malah, peratusan tersebut semakin meningkat sejak 40 tahun lepas akibat pembangunan yang tidak menitikberatkan kepentingan menjaga ekosistem semula jadi di negara ini.
Bernama sebelum ini mendedahkan tentang kemelut KSNP yang merupakan satu-satunya 'tangki oksigen' yang masih lagi berbaki di kawasan hutan paya bakau banjar selatan menjadi tumpuan kalangan penduduk sekitar serta aktivis alam sejak bulan lepas berikutan terdapatnya cadangan membangunkan kawasan tersebut.
Malah, pertikaian tersebut semakin hangat berikutan penduduk sekitar langsung tidak diberitahu sebarang perkembangan mengenainya. Begitu juga dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) yang dipertanggungjawabkan mengurus KSNP sejak 35 tahun lalu.
IMPAK BENCANA ALAM DAN KONFLIK
Bernama difahamkan oleh pengurus MNS KSNP Maichal Isthyben sebelum ini bahawa KSNP akan dibangunkan menjadi ekopelancongan dengan resort mewah yang meliputi beberapa zon termasuk di zon kawasan bakau.
Malah, ura-ura tersebut turut diakui Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli yang juga Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor dan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid ketika dihubungi baru-baru ini.
"Betul... Ia bukanlah keseluruhan. Orang tidak faham, apabila disebut pembangunan Taman Alam, orang ingat keseluruhan. Bukan, tidak. Hanya sebahagian sahaja yang akan dibangunkan," kata Ahmad Fadzil berkaitan persoalan tersebut.
Mengulas mengenainya, Ketua Kampung Tanjung Keramat Mohamad Naser Mohamad Amid, 41, berkata walaupun pembangunan tersebut didakwa hanya melibatkan 'sebahagian sahaja', beliau dan seluruh penduduk percaya implikasi pembangunan yang dirasai ketika ini akan bertambah teruk sekiranya cadangan itu direalisasikan.
Ini kerana bukan sahaja hasil pendapatan nelayan pesisir pantai yang merupakan pekerjaan utama penduduk di situ terjejas akibat guna tanah agresif hutan bakau banjar selatan tetapi juga telah menyebabkan mereka berhadapan dengan pelbagai impak bencana alam.
Ini terjadi apabila kawasan hutan paya bakau yang berfungsi sebagai ejen pemecah ombak semula jadi serta zon penampan mengurangkan tenaga angin itu dimusnahkan, beberapa buah rumah penduduk kampung mengalami kerosakan apabila berlakunya hujan lebat berserta angin kencang.
Selain itu kejadian banjir juga semakin kerap berlaku dan situasinya semakin teruk sehingga air naik melebihi paras buku lali setiap kali hujan lebat ataupun air pasang besar berlaku khususnya di Tanjung Keramat, Kampung Kuantan dan Batang Berjuntai
"Saya menyuarakan kebimbangan seluruh penduduk kampung Tanjung Keramat dan Kuala Selangor sebaik mendapat tahu cadangan tersebut, kerana hingga ke hari ini tiada mana-mana pihak agensi kerajaan yang datang memberi penjelasan mengenainya.
"Kami bimbang kerana impak bencana alam akibat kerakusan pembangunan di Kuala Selangor sangat dirasai ketika ini. Apatah lagi dengan isu perubahan iklim, memang kesannya nampak ketara sangat di sini sehingga mengakibatkan penduduk semakin tertekan dan bimbang setiap kali hujan lebat," katanya.
Malah, beliau yang juga Penasihat Pertubuhan Penduduk Tanjung Keramat berkata kebanyakan penduduk melahirkan kebimbangan konflik di antara manusia dan haiwan yang dihadapi ketika ini akan menjadi lebih teruk sekiranya cadangan pembangunan itu menjadi kenyataan.
KAWASAN LAIN ADA
Ini kerana setiap masa penduduk berhadapan dengan ancaman babi liar, ular berbisa, serangan agresif berpuluh-puluh ekor kera dan lotong sehingga ada yang cedera selain turut merosakkan cermin kereta, bumbung rumah, tanaman serta pelbagai barangan rumah.
"Isu dipatuk ular bakau, disondol babi hutan sehingga mengakibatkan patah tangan, bukanlah isu baharu di sini kerana situasi tersebut makin kerap berlaku sejak kebelakangan ini dan kerana itulah kami selaku penduduk mahukan pihak terlibat turun padang jumpa orang kampung dan jelaskan apa yang sebenarnya.
"Ini tempat kami dan KSNP sumber utama buat penduduk, dan sebagai komuniti di sini, suara kami amat penting didengari. Kami bukannya tolak pembangunan, cuma hanya ingin tahu apa jaminan kepada penduduk dari sudut mengurangkan bencana alam impak pembangunan serta peluang pekerjaan," katanya.
Mengakui telah melihat cadangan pelan pembangunan KSNP yang diperoleh daripada rakan-rakannya, beliau berkata pelan itu menampakkan projek tersebut seolah-olah memberikan keuntungan kepada pihak tertentu dan bukannya penduduk kampung.
Janji mewujudkan peluang pekerjaan atau membuka ruang perniagaan di situ nampaknnya lebih banyak memanfaatkan orang luar, Naser berkata situasi tersebut adalah berdasarkan pengalaman mereka sebelum ini apabila penduduk kampung dijanjikan pekerjaan apabila banyak projek akuakultur dijalankan di situ serta pelbagai pembangunan lain.
Namun, itu hanyalah sekadar 'janji manis di mulut' kerana majoriti penduduk di situ, baik orang muda serta golongan tua, masih menjadikan nelayan pantai sebagai pekerjaan utama mereka selain menjadi pengawal keselamatan.
"Sekiranya betul hendak bantu penduduk, mengapa tidak tumpu pada kawasan di belakang Bukit Melawati seperti Makam Keramat Anak Dara atau Keramat Rubiah Keramat dan juga Kota Tanjung Keramat yang terletak di bahagian utara Bukit Selangor yang merupakan kubu semasa pemerintahan Sultan Selangor yang kedua Sultan Ibahim Syah.
"Nilai sejarah ini terbiar, tidak dijaga, sedangkan kawasan bersejarah ini mempunyai nilai pelancongan tinggi, dan dengan memajukannya ia akan mewujudkan pekerjaan kepada penduduk sebagai pemandu pelancong atau perniagaan tanpa perlu memusnahkan Taman Alam kerana hutan itu belum terosot," katanya.
TIDAK TEROSOT
Nilai kualiti hutan ini masih baik turut diakui pensyarah kanan khas, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Harinder Rai Singh yang berkata hutan KSNP begitu kaya dengan khazanah alam dan tidak terosot.
Ini kerana KSNP bukan sahaja menjadi tumpuan utamanya penyelidikan berkaitan dengan hutan bakau sejak 2000 dan ini membuktikan hutan berkenaan sangat penting dikekalkan.
"Kebimbangan saya ialah tentang gangguan ke atas pelbagai peranan ekosistem hutan bakau termasuk selaku tapak pendidikan dan kesedaran hutan bakau kerana banyak pihak telah melawat KSNP.
"Selain itu, banyak syarikat telah menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menanam semula pokok bakau," ujarnya.
Hakikatnya, bukanlah murah kos menguruskan KSNP dan usaha penanaman bakau yang dikendalikan oleh MNS bersama-sama syarikat korporat menerusi CSR bagi mengekalkan ekosistem pokok bakau di situ.
Menjelaskan mengenainya, Maichal berkata hingga kini, lebih RM10 juta telah dibelanjakan untuk menguruskan KSNP dari segi konservasi dan rehabilitasi serta penanaman semula pokok bakau di situ yang terjejas disebabkan impak perubahan alam, ombak kuat, kilat serta diserang penyakit sehingga mengakibatkan pokok sedia ada mati.
"Harga minimum untuk satu pokok adalah sekitar RM5.50 dan boleh cecah RM35 hingga RM45 sepokok, sangat mahal dan kerajaan negeri tidak bagi peruntukan kepada MNS untuk pengurusan dan dana ini diperoleh daripada sumbangan ahli ataupun daripada projek CSR bersama syarikat korporat.
"Kerajaan negeri hanya bagi peruntukan untuk pembinaan infrastruktur seperti bangunan pejabat dan chalet sahaja (di kawasan hadapan KSNP) melalui kontraktor yang dilantik, dan kerana itu ia amat penting bagi mendapatkan pandangan semua pihak serta diambil kira kepentingan semua pihak termasuk penduduk tempatan dan bukannya pihak tertentu sahaja," katanya.
-- BERNAMA / Sakini Mohd Said
Bernama
Sat Jun 18 2022
-Sekiranya hutan paya bakau diteroka untuk pembangunan, di mana lagi nelayan kecil seperti pak cik nak cari makan? Kehidupan nelayan di sini sudah semakin susah kerana hasil tidak lagi seperti dulu," luah Kahar Buntal. - Bernama
G7 usaha sepakati isu waran tangkap Netanyahu
Tajani menyatakan bahawa G7 perlu bersatu dalam isu ini untuk menunjukkan pendirian yang kukuh.
Airbus rancang beli balik sehingga 2.12 juta saham
Syarikat aeronautik dan angkasa lepas Eropah, Airbus, mengumumkan "tranche" kedua program pembelian balik sahamnya.
Kes remaja hamil luar nikah, khalwat tunjuk trend penurunan - Timbalan MB Kelantan
Kes hamil luar nikah dalam kalangan remaja berusia 15 hingga 19 tahun di Kelantan telah menunjukkan trend penurunan dari 2021 hingga 2023, kata Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamed Fadzli Hassan.
MOTAC perluas Aspirasi Generasi Pendidikan TVET, pastikan tenaga kerja tempatan dipenuhi
Kerajaan bercadang memperluaskan Program Aspirasi Generasi TVET Sektor Pelancongan bagi membuka peluang kepada lebih ramai graduan tempatan menceburi industri berkenaan.
Salah faham konsep taat antara punca isteri tidak lapor keganasan rumah tangga
Salah faham terhadap konsep taat dikenal pasti antara punca mengapa sebahagian wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga tidak melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa.
Maritim Malaysia rancang perolehan radar baharu guna teknologi AI
Maritim Malaysia merancang untuk memperoleh radar baharu yang akan ditempatkan di kawasan strategik seperti di kawasan perairan Sarawak dan pantai timur.
KPK yakin sasaran RM28 bilion eksport industri kayu dapat dicapai menjelang 2025
KPK yakin sasaran nilai eksport kayu dan produk kayu sebanyak RM28 bilion menjelang 2025 akan dapat dicapai seperti yang digariskan dalam Dasar Agrikomoditi Negara 2030.
Pencemaran plastik di Sabah semakin membimbangkan - Joachim
Pencemaran plastik di Sabah semakin membimbangkan dan memberi kesan buruk kepada imej negeri ini sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Perak berpotensi baik sebagai penyumbang ekonomi negara - Rafizi
Perak mempunyai potensi baik berbanding negeri lain sebagai penyumbang ekonomi negara, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
MOTAC promosi makanan tempatan sepanjang Kepengerusian ASEAN
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mempromosikan makanan tradisional Malaysia sepanjang Kepengerusian ASEAN 2025 bagi merancakkan industri pelancongan negara.
Sumber nelayan makin kurang, hanya taman alam jadi harapan
"Hingga ke hari ini tiada mana-mana pihak agensi kerajaan yang datang memberi penjelasan..." keluh penduduk.