Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke majlis Mengangkat Sumpah dan Menjunjung Duli oleh pembesar-pembesar negeri di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Pembesar yang melafazkan sumpah setia kepada Sultan dan negeri itu ialah Orang Besar Bergelar, Datuk Tengku Iskandar Shah Tengku Ismail Shah, dua Orang Besar Istana, Datuk Syed Budriz Putra Jamalullail Syed Amir Abidin Jamalullail dan Datuk Tengku Ardy Esfandiari Tengku Abdul Hamid.

Turut melafazkan sumpah setia ialah Orang Besar Daerah Sepang, Prof Datuk Dr Tengku Jamaluddin Tengku Mahmud Shah dan Datuk Diraja Selangor, Datuk Richard Alexander John Curtis.

Kira-kira 300 tetamu termasuk kerabat Diraja Selangor dan pemimpin kerajaan negeri hadir ke majlis berkenaan yang kali terakhir diadakan pada 2005.

Mengikut adat istiadat pengurniaan, mereka yang melafaz sumpah pada hari ini, perlu meninggalkan negeri Selangor selama tujuh hari dan kembali semula bagi menyempurnakan Istiadat Menjunjung Duli yang dijadual Sabtu depan (27 Feb).