Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah malam tadi menunaikan wasiat ayahandanya, Almarhum Sultan Azlan Shah Maghfullah dengan merasmikan sebuah masjid yang dibina semula di Batu Gajah, Perak yang diwasiatkan dirasmikan pada Ramadan tahun ini.
Masjid itu diperkenankan untuk diberi nama sempena nenda baginda, Toh Puan Besar Hatijah yang juga merupakan pemilik asal tanah tapak masjid itu yang diwakafkan sejak lebih kurang 80 tahun lalu.
Dalam titah ucapannya, Sultan Nazrin menceritakan bagaimana dekatnya hati Almarhum ayahandanya dengan pekan Batu Gajah yang juga tempat kelahiran Almarhum, biar "sejauh mana Almarhum merantau dan setinggi mana Almarhum mencapai kejayaan".
"Rumah Allah ini adalah hadiah kenangan daripada Almarhum kepada masyarakat Batu Gajah yang sangat nostalgik dalam ingatan Almarhum," titah baginda seperti dipetik oleh Bernama.
Titah baginda, projek pembinaan semula masjid itu adalah merupakan pembinaan terakhir yang Almarhum telah berikan tumpuan dan terlibat secara langsung. Ia juga lambang pengabadian penghargaan seorang putera kepada bondanya.
"Almarhum tidak sempat untuk bersolat di masjid yang telah dibina semula ini.
"Almarhum telah meninggalkan wasiat agar masjid ini dirasmikan bersempena Ramadan 1435 Hijrah dan majlis berbuka puasa pertama Sultan bersama rakyat pada tahun ini hendaklah diadakan di masjid ini," titah baginda yang sebak dan sesekali mengesat air mata.
Almarhum Sultan Azlan juga telah berkenan menamakan dewan serba guna masjid itu sebagai Dewan Raja Baharum Baha'uddin Shah sempena nama kekandanya.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan merasmikan Masjid Toh Puan Besar Hatijah dan majlis berbuka puasa pada Isnin. Dahulu masjid ini dikenali sebagai Masjid Daerah Batu Gajah. - Foto Bernama
Masjid itu asalnya dibina daripada kayu sebelum digantikan dengan bangunan batu pada 1970-an. Pada akhir 2006, Almarhum Sultan Azlan Shah menitahkan agar masjid itu dibina semula. Kerja-kerja pembinaan semula itu dimulakan pada 9 Oktober 2008 dan siap pada tahun lepas.Masjid yang dibaik pulih dengan belanja RM21 juta itu boleh memuatkan 2,000 jemaah.
Dalam titahnya, Sultan Nazrin Shah juga mahu masjid peranan masjid diperkekuhkan sebagai sebagai pusat perkembangan ilmu, budaya dan pembangunan masyarakat dengan mengambil semangat masjid yang dibina oleh Nabi Muhammad di sebaik selepas hijrah ke Madinah.
Sultan Nazrin Shah kemudian berbuka puasa sebelum menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih berjemaah bersama-sama umat Islam di masjid itu.
Baginda yang berangkat bersama adinda-adindanya, Raja Datuk Seri Azureen dan Raja Datuk Seri Eleena serta kerabat diraja yang lain sebelum itu menziarahi makam nenda mereka, Toh Puan Besar Hatijah di Tanah Perkuburan Segedup dekat masjid berkenaan.