JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengurniakan 100 ekor lembu bagi ibadah korban sempena Aidiladha hari ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, menerusi hantaran di laman Facebooknya, malam ini, berkata kurniaan itu telah diagihkan kepada golongan yang memerlukan di daerah dan agensi di seluruh negeri.

"Merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih ke bawah DYMM Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas perkenan mengurniakan 100 ekor lembu sempena Hari Raya Aidiladha 1444H ini.

"Patik dan seluruh Bangsa Johor mendoakan semoga DYMM Tuanku serta seluruh keluarga diraja Johor sentiasa dilindungi Allah SWT, dilimpahkan rahmat, kemuliaan serta dikurniakan kesihatan yang baik, dilanjutkan usia serta memerintah Johor dengan maju, makmur dan sejahtera," katanya.

Onn Hafiz berharap semoga dengan kurniaan Sultan Johor itu sedikit sebanyak dapat menceriakan setiap penerima sempena Aidiladha ini.

-- BERNAMA