Wisma Putra memaklumkan, kunjungan itu adalah selari dengan iltizam untuk mengukuhkan lagi hubungan istimewa dan erat sedia ada antara kedua-dua negara.
"Inti pati perbincangan tersebut turut menyentuh kerjasama dua hala dan isu-isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Kunjungan itu adalah sebahagian daripada lawatan kerja dua Mohamad ke negara itu bersempena Mesyuarat ke-25 Pelaksanaan Exchange of Letters antara Malaysia dan Brunei Darussalam (EOL-25).
Dalam mesyuarat EOL yang dipengerusikan bersama Mohamad dan rakan sejawatnya Datuk Seri Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof, Malaysia dan Brunei bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan yang dicapai sepanjang pelaksanaan Exchange of Letters tersebut.
EOL merupakan dokumen yang ditandatangani pemimpin kedua-dua negara pada 2009, yang menggariskan perkara-perkara yang diberi keutamaan dalam hubungan dua hala.
Dalam pada itu, Wisma Putra memberitahu, kedua-dua negara bersependapat bahawa perpaduan dalam ASEAN adalah amat penting bagi tereus menjamin keamanan dan kesejahteraan rantau Asia Tenggara
"Brunei juga mengulangi sokongannya kepada Malaysia dalam usaha menjayakan Visi Komuniti ASEAN sepanjang Kepengerusian ASEAN Malaysia pada 2025," katanya.