KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara akan mempertimbangkan untuk memasukkan acara sukan tradisional dan sukan rakyat ke dalam Karnival Liga Sukan UNITI bagi edisi tahun depan.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, langkah itu adalah berikutan penyertaan menggalakkan yang diterima pada edisi tahun ini.

“Pada tahun ini, Karnival Liga Sukan UNITI Peringkat Negeri yang berlangsung pada bulan September dan Oktober telah menjadi satu platform yang sangat berjaya.

"Sehingga kini, jumlah penyertaan di peringkat negeri dan kebangsaan telah melebihi 2,300 pasukan dengan anggaran pemain 23,000 peserta dari seluruh negara," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan timbalannya, Saraswathy Kandasami ketika merasmikan Karnival Liga Sukan Uniti Peringkat Kebangsaan, di sini, pada Sabtu.

Aaron Ago berkata, penganjuran sukan tahun ini turut mendapat kerjasama strategik daripada  badan sukan  utama negara seperti Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Bola Jaring Malaysia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Selain itu kata beliau, buat pertama kalinya pada tahun ini, Liga Sukan UNITI diperluaskan dengan penyertaan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

"Demi menyokong aspirasi perpaduan, sukan adalah antara unsur yang dilihat sebagai medium penyatuan pelbagai etnik yang paling berkesan di Malaysia.

Sebanyak tiga sukan dipertandingkan selama dua hari karnival ini berlangsung iaitu bola jaring, badminton dan futsal.

Keunikan Karnival Liga Sukan Uniti ialah kejohanan itu menetapkan syarat penyertaan pasukan daripada kaum yang berbeza bagi membolehkan setiap pemain dapat bergaul antara kaum seterusnya dapat memahami, menghormati dan menerima setiap perbezaan yang wujud.

Pelbagai pengisian menarik turut diadakan sempena karnival ini seperti Pameran Rumah Kami (dikenali Rumah Etnik), FoodUnites dan Pertandingan Sukan Tradisional serta persembahan istimewa daripada artis-artis terkenal tanah air.