Menurut pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam, Rang Undang-undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 terdapat "beberapa peruntukan yang tidak selari dengan prinsip asas hak asasi manusia" seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).
Peruntukan yang dipersoalkan terutamanya ialah berkenaan dengan penahanan tanpa bicara dan perwakilan undang-undang, katanya.
Hasmy menggesa Kerajaan supaya menangguhkan pembentangan kali kedua rang undang-undang tersebut dan menjalankan kajian semula ke atas cadangan-cadangan pindaan dengan mengambil kira prinsip-prinsip hak asasi manusia berikut:
- Bahawa penahanan tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya;
- Bahawa penahanan mestilah berdasarkan sebab dan prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang;
- Bahawa maklumat tentang sebab-sebab penahanan mesti diperuntukkan; dan
- Bahawa hak untuk perbicaraan yang adil dan akses kepada perwakilan undang-undang mesti diperuntukkan.
Beliau berkata Suruhanjaya juga bimbang dengan cadangan Seksyen 7C yang memberi kuasa kepada Lembaga untuk mengeluarkan perintah tahanan terhadap seseorang yang telah melakukan dua atau lebih kesalahan yang serius, sama ada dia telah disabitkan atau tidak, dan semata-mata berdasarkan kecukupan bukti.
“Suruhanjaya berpendapat bahawa peruntukan ini mencabuli hak seseorang kepada perbicaraan yang adil, perlindungan terhadap perbicaraan berulang serta hak untuk kesaksamaan di sisi undang-undang dan hak untuk dipertimbangkan tidak bersalah sehingga terbukti bersalah, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 7(2) dan Perkara 8(1) dalam Perlembagaan Persekutuan."
Hasmy juga berkata Suhakam juga melahirkan rasa kecewa ke atas cadangan Seksyen 15A yang
menghalang semakan kehakiman ke atas keputusan Lembaga melainkan perkara-perkara yang berkenaan prosedur seterusnya menafikan hak seseorang individu untuk mendapatkan perbicaraan yang adil di mahkamah dengan segala jaminan yang perlu untuk pembelaannya.