KUALA LUMPUR: Pandangan segelintir pihak bahawa Kerajaan Persekutuan telah menarik balik penyaluran peruntukan subsidi elektrik kepada Sabah adalah tidak benar, tegas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Dalam perkongsian di laman media sosial Kementerian Kewangan, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan komited menyediakan subsidi elektrik sebanyak RM3.54 bilion selama tujuh tahun sehingga tahun 2030, pasca penyerahan kuasa kawal selia kepada kerajaan negeri.

Jelasnya lagi, keputusan itu dibuat hasil persetujuan pemindahan kuasa kawal selia bekalan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah pada 3 Januari 2024.

“Sehingga September 2024, Kerajaan Persekutuan telah selesai menyalurkan sebanyak RM449.4 juta subsidi elektrik (daripada jumlah peruntukan keseluruhan tahun 2024 sebanyak RM507 juta) berdasarkan tuntutan yang telah disemak dan disahkan oleh ECoS kepada Sabah Electricity (SESB).

“Baki peruntukan sekitar R57.6 juta ringgit akan disalurkan sebaik tuntutan dikemukakan dan dijangka baki ini akan disalurkan sepenuhnya sebelum akhir tahun ini,” katanya lagi.

Amir Hamzah berkata demikian sewaktu membuat ucapan penggulungan Peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan, Menteri Kewangan II pada Rabu.

Dalam pada itu beliau berkata, bagi tahun 2025, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM700 juta subsidi elektrik, meningkat RM193 juta daripada peruntukan tahun 2024 sebanyak RM507 juta.

“Kerajaan Persekutuan ambil maklum kedudukan kewangan meruncing yang sedang dihadapi oleh Sabah Electricity. Kementerian Kewangan bersama PETRA ketika ini sedang meneliti dan menimbang permohonan bayaran ICPT (Jun – Disember 2023) kepada Sabah Electricity berjumlah RM162 juta.

“Dalam pada masa yang sama, Kementerian Kewangan turut sedang menimbang untuk memberikan moratorium bayaran balik pinjaman Sabah Electricity kepada Kerajaan Persekutuan yang dianggarkan sekitar RM65 juta,” katanya lagi.