KUALA LUMPUR: Mekanisme pemberian subsidi bersasar, gaji anggota polis dan ugutan terhadap Ahli Parlimen, adalah antara perkara yang dibangkitkan pada hari pertama perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pengerusi Penyokong Kerajaan Datuk Seri Johari Abdul Ghani di dalam perbahasannya mencadangkan mekanisme cash transfer (pemindahan dana) dalam usaha kerajaan untuk memastikan tidak berlaku ketirisan pemberian subsidi melalui data isi rumah yang tepat.

Beliau berkata cara itu juga dapat memastikan keuntungan peniaga tidak terjejas selain kerajaan boleh mengawal harga barangan subsidi agar tidak dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Kalau kita cerita soal isi rumah, kita mesti ada maklumat asal itu dengan baik. Barulah sasarkan kita punya subsidi ini, melalui cash transfer kerana dengan cara ini sahaja tidak ada orang boleh memanipulasi macam-macam.

"Dengan pemberian cash transfer, industri akan terus berkembang kerana dia mempunyai keuntungan dalam perniagaan mereka," kata Ahli Parlimen Titiwangsa itu.

Sementara itu Gobind Singh Deo (PH-Damansara) di dalam perbahasannya menyarankan Dewan Rakyat agar mewujudkan satu mekanisme untuk memastikan setiap Ahli Parlimen yang dipilih secara demokratik tidak ditekan dengan ugutan pihak-pihak tertentu dalam melaksanakan tugas mereka.

Beliau berkata terdapat peruntukan di dalam peraturan yang membolehkan Dewan Rakyat memanggil mana-mana individu yang bertindak memberi tekanan ataupun ugutan kepada Ahli Parlimen untuk disoal ketika persidangan.

"Kita ada undang-undang. Kenapa kita sebagai Ahli Parlimen tidak ambil tindakan? Bukankah kita berkuasa panggil mereka yang terlibat (untuk tanya) apa yang berlaku sebenarnya dan kalau benar-benar kita dapati benar, kita ambil tindakan.

"Saya minta supaya dewan ini wujudkan satu jawatankuasa atau satu mekanisme di mana kita boleh pastikan tingkah laku kita sebagai Ahli Parlimen tidak tergugat, kita bebas untuk laksanakan tugas kita. Tidak setakat kita berbahas di Parlimen, selepas itu keluar ada ugutan dan tekanan di bawah," katanya.

Beliau merujuk kepada tindakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri yang didakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin didorong oleh ugutan daripada pihak tertentu.

Dalam pada itu beliau turut mencadangkan kerajaan supaya meneliti semula struktur gaji anggota polis yang dilihat terlalu rendah.

"Penting untuk mendengar suara daripada anggota polis di luar sana berkenaan masalah mereka dan apakah sebenarnya yang kita harus laksanakan untuk kita berikan mereka keyakinan bahawa kerajaan faham masalah mereka," katanya.

Turut senada, Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang mencadangkan supaya gaji permulaan anggota polis ditetapkan sebanyak RM2,000 tidak termasuk elaun tertentu, yang antara lain bagi menghargai peranan kumpulan berkenaan serta sebagai usaha mengurangkan rasuah dalam negara.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA