KUANTAN: Suami kepada bekas peragawati dan pelakon terkenal, Zahnita Wilson, tiba di Kompleks Mahkamah Kuantan, di sini, bagi menghadapi pertuduhan berkaitan mendatangkan kecederaan dan kes dadah.

Lelaki berusia 46 tahun itu dibawa ke mahkamah dengan kawalan ketat oleh pihak polis kira-kira jam 9.05 pagi.

Pertuduhan dijangka dilakukan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan kepada pasangannya.

Kontraktor binaan itu turut berdepan satu lagi pertuduhan berkaitan urin positif dadah di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes tersebut mendapat perhatian ramai selepas Zahnita memuat naik gambar menunjukkan kesan lebam di bahagian mata di akaun media sosialnya.

Pelakon filem Kuliah Cinta itu turut mendakwa dia menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Pada Selasa lalu, suami kepada selebriti berdarah kacukan Melayu dan Australia berkenaan direman selama tiga hari untuk membantu siasatan.

Proses reman dilakukan di Mahkamah Majistret Kuantan dan perintah tersebut dikeluarkan oleh Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.

Zahnita memfailkan permohonan cerai terhadap suami di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Selangor pada 2013 tetapi menariknya semula, awal tahun 2015.

Pasangan itu berkahwin pada 2005 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Zahrafeena, Zasharayna, Zahlia dan Zayden.