Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air (KAITA) Perak Datuk Zainol Fadzi Paharuddin memberi jaminan struktur jalan di Kilometer 44, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands selamat bagi kegunaan pengguna jalan raya.

Katanya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menjalankan kerja-kerja menguatkan cerun di kawasan terbabit sejak 2014 malah menggunakan pembinaan sistem jalan khas di sepanjang 430 meter jalan berhampiran cerun itu.

Jelasnya, sistem "piled embankments structure" tersebut membolehkan jalan yang siap sepenuhnya pada Disember 2015 itu mampu menampung berat maksimum khusus bagi kenderaan berat atau ringan di kawasan tanah tinggi tersebut.

"Jadi orang ramai tidak perlu risau kerana walaupun nampak seperti ada hakisan,rekahan dan rebahan, atau ia mendekati sehingga ke tepi jalan raya, struktur itu masih boleh bertahan.

"Bagaimanapun, harus diingatkan bahawa jaminan keselamatan tersebut juga bergantung kepada faktor cuaca dan keadaan semasa di sini," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melakukan tinjauan di sekitar cerun runtuh di Kilometer 44 yang terletak sekitar 17 kilometer dari Kampung Raja, Cameron Highlands pada Jumaat.

Zainol berkata sistem tersebut berbentuk seolah-olah sebuah jambatan dan terletak di bawah jalan yang memberikan sokongan penuh kepada jalan raya kegunaan ramai meskipun ia tidak kelihatan.

Katanya, orang ramai pastinya bimbang mengenai gambar cerun runtuh yang viral di laman web tersebut namun realitinya ia masih selamat digunakan sehingga hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kejuruteraan Cerun JKR Malaysia, Che Hassandi Abullah berkata, projek naik taraf jalan raya itu bermula sejak dua tahun lepas dan menelan belanja sekitar RM10 juta termasuk pembinaan struktur dan penghadang besi.

"Bagi masa hadapan, kami akan menilai dan memantau apa yang boleh digunakan untuk memastikan cerun ini tidak bertambah serta mendapatkan peruntukan.

"Sebelum ini, kita telah cuba menanam tumbuhan bagi struktur tanah cerun ini, namun ia masih turun ke bawah berikutan tahap curamnya yang tinggi," ujarnya.