IPOH: Ketua masyarakat Kampung Orang Asli (KOA) Tonggang, Ulu Kinta dekat sini jelas teruja dan gembira dengan rancangan kerajaan untuk memasang perkhidmatan internet satelit Starlink di kawasan perkampungannya itu.

Tok Batin Che Wan Alang berkata, inisiatif pemasangan Starlink itu merupakan manifestasi betapa kerajaan Persekutuan sama sekali tidak pernah meminggirkan masyarakat Orang Asli, agar tidak ketinggalan dalam menikmati arus kemajuan, sama seperti penduduk di bandar.

Katanya, beliau dimaklumkan bahawa set Starlink akan dipasang di dewan serbaguna kampung berkenaan bagi memudahkan penduduk kampung mendapatkan akses internet, dan Tonggang merupakan KOA kedua pemasangan sambungan Starlink itu selepas KOA Hulu Kemensah, Selangor.

"Semoga perkhidmatan internet ini memberi sinar baharu kepada penduduk kampung ini agar tidak ketinggalan dari segi kemajuan berbanding penduduk di bandar," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika lawatan Khamis lepas mengumumkan pemasangan Starlink di Kampung Orang Asli berkenaan, yang dihuni 435 penduduk daripada 137 keluarga.

Menurut Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun, perkhidmatan capaian internet itu akan dilaksanakan melalui projek Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) sebagai usaha membantu rakyat mendapatkan kemudahan jaringan internet yang baik.

Che Awang seterusnya menzahirkan rasa syukur dan terima kasih terhadap keprihatinan Perdana Menteri terhadap masyarakat Orang Asli.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan terhadap usaha yang dilakukan untuk membawa masuk Starlink ke kampung kami.

"Pengumuman Perdana Menteri itu sekali gus menamatkan isu ketiadaan akses internet, dan memudahkan rakyat pedalaman seperti kami untuk dapatkan capaian internet dengan mudah, khususnya demi pendidikan anak-anak," katanya. - BERNAMA