KUALA LUMPUR: Penjawat awam boleh menyemak dan mengetahui kadar baharu gaji pada minggu depan susulan pelarasan gaji menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenalkan kerajaan.

Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Datuk Mohd Shaiful Ibrahim berkata perincian berkenaan mekanisme pelarasan gaji penjawat awam itu akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 pada 16 Ogos ini.

"Pada MAPPA 16 Ogos ini, kita sediakan perkhidmatan kalau hendak kira berapa kenaikan akan berlaku pada gaji kita.

"Ada kalkulator (untuk kira) berapa gaji kita. Pada 1 Dis akan berlaku kenaikan gaji dan hujung bulan (Disember) penjawat awam akan terima kadar gaji yang baharu," katanya semasa menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV di sini hari ini.

MAPPA-ke19 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 8 pagi.

Mohd Shaiful berkata SSPA itu terpakai kepada perkhidmatan awam Persekutuan dan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengeluarkan pekeliling mengenainya.

"Bagi penjawat awam negeri serta Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan, jika mereka menerima SSPA ini, maka ia menerima pakai semua sama seperti penjawat awam Persekutuan," katanya.

Ditanya mengenai kebaikan SSPA, Mohd Shaiful berkata selain kenaikan gaji, sistem itu juga merangkumi pembangunan organisasi dan bakat pegawai serta manfaat kepada para pesara.

"Mengikut Akta Pencen, jika berlaku kenaikan gaji kepada pegawai (sedang) dalam perkhidmatan, pesara-pesara juga akan terkesan. Jadi, bermaksud mereka juga akan menerima kenaikan mengikut formula-formula yang ditetapkan," katanya.

Mengenai kajian semula skim pencen termasuk pengenalan kaedah caruman seperti dilaksanakan pihak swasta, Mohd Shaiful berkata kerajaan memberi jaminan faedah yang akan dinikmati penjawat awam tidak akan kurang daripada ketika ini.

"Kerajaan tidak akan menanggung beban kewangan berterusan dan pegawai juga tidak menanggung kerugian. Faedah dinikmati pegawai akan sama, tidak kurang daripada orang yang dapat pencen...akan ada caruman pekerja dan majikan," katanya.

Mohd Shaiful berkata pada tahun lalu, kerajaan menanggung kira-kira RM32 bilion untuk pembayaran pencen penjawat awam dan jumlah berkenaan meningkat RM2 juta setiap tahun.

-- BERNAMA