PUTRAJAYA : Kerajaan bersetuju agar Sistem Saraan Malaysia (SSM) digantikan kepada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuat kuasa 1 Disember 2024, umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, keputusan itu diambil setelah mengambil kira pelbagai faktor, melaksanakan pertimbangan yang teliti dan berhemah.

"SSPA ini mengandungi roh dan semangat Reformasi Perkhidmatan Awam (Civil Service Reform) yang dikehendaki bagi menjayakan agenda Malaysia MADANI.

"Terdapat tiga ikhtiar bagi mencapai maksud ini iaitu meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam, meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan dan meningkatkan daya saing negara," katanya semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-19 (MAPPA XIX) 2024 di sini, hari ini.

SSPA SISTEM SARAAN BERTERASKAN PRESTASI

Menurut Anwar, SSPA yang dirangka bukanlah semata-mata hanya pembaharuan dan peningkatan dalam pendapatan boleh guna yang akan dinikmati oleh penjawat awam, namun, ia adalah satu sistem saraan yang berteraskan prestasi.

"Siapa yang cemerlang, akan dapat ganjaran, siapa gagal mempamer prestasi yang baik, akan dikenakan tindakan.

"Sebagaimana yang selalu saya tegaskan, kita tidak boleh sewenang-wenangnya memberikan layanan yang sama kepada semua terutama dalam aspek ganjaran dan pengiktirafan.

"Saya mahu mesejnya jelas supaya penjawat awam yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang baik, culas, sering tidak hadir ke pejabat tanpa kelulusan Ketua Jabatan tidak akan diberikan
ganjaran," ujarnya.

Perdana Menteri menambah, secara prinsipnya, kerajaan mahu hanya yang benar-benar layak sahaja diberikan ganjaran seperti yang dijanjikan.

Beliau berkata, ini selaras dengan hasrat untuk memastikan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan awam dan menjaga kesejahteraan pegawai, prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan diperkenalkan.