PETALING JAYA: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini melancarkan dua platform pembekalan maklumat korporat baharu iaitu SSM Search dan SAFEDATA-SSM.

Pengerusinya Ahmad Sabki Yusof berkata platform yang telah berkuat kuasa sejak 1 April lepas, memudahkan akses kepada maklumat entiti perniagaan yang dikawal selia oleh SSM secara dalam talian.

Melalui platform ini, beliau berkata pelanggan boleh mendapatkan sebanyak 37 produk SSM seperti profil perniagaan, profil syarikat, maklumat kewangan syarikat dan salinan sijil pendaftaran perniagaan.

"Platform baharu ini menyediakan kemudahan untuk pembekalan maklumat entiti perniagaan secara dalam talian. Ia memastikan analisis maklumat yang tepat dan pantas dapat diakses oleh orang awam, seterusnya membantu mereka membuat keputusan perniagaan yang lebih baik," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis pelancaran platform baharu pembekalan maklumat korporat SSM dan perasmian SSM Bizday 2024 di pasar raya besar Mydin Subang Jaya di sini hari ini.

Ahmad Sabki berkata pelancaran platform baharu ini menjadikan jumlah platform pembekalan maklumat SSM kepada empat saluran selepas pengenalan portal SSM e-info pada 2006 dan MYDATA pada 2016.

Sehubungan itu beliau berkata, dengan pengenalan platform baharu ini, angka transaksi maklumat dijangka terus meningkat.

"Sejak 2019 hingga 31 Julai 2024, lebih 26.4 juta transaksi maklumat yang direkodkan melalui MyDATA-SSM dan portal SSM e-Info," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga 31 Julai 2024, sebanyak 1.56 juta syarikat telah diperbadankan manakala 9.32 juta perniagaan serta 39,783 perkongsian liabiliti terhad (PLT) didaftarkan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 677,351 syarikat, 1.66 juta perniagaan dan 35,821 PLT adalah aktif.

Sementara itu, SSM turut melancarkan program SSM Bizday 2024 yang bermula hari ini sehingga esok di Mydin Subang Jaya.

Ahmad Sabki berkata program yang kali kedua dianjurkan itu telah menerima penyertaan daripada lebih 600 peserta.

-- BERNAMA