Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Gerakan Keserderhanaan Global, Datuk Saifuddin Abdullah menggesa supaya diwujudkan satu kepimpinan baru dalam memperkasakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mantan Ahli Parlimen Temerloh dan bekas Menteri Pengajian Tinggi, bagaimanapun tidak tergesa-gesa dalam menyeru perletakan jawatan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

“Pada pendapat saya, kita sebenarnya memerlukan seorang Pengerusi SPR yang baru dimana beliau hendaklah seorang yang benar-benar bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas dan bukannya dilihat sebagai seorang yang bagaikan mewakili Parti BN (Barisan Nasional),” kata Saifuddin.

“Apa yang kita perlukan adalah seseorang yang mampu membawa kedua-dua pihak berasa selesa untuk duduk semeja bersama dalam membincangkan apa jua permasalahan”, tegas beliau.

Beliau menjelaskan adalah amat penting bagi BN dan Pakatan Rakyat untuk mampu duduk semeja dalam membincangkan bersama SPR dalam isu persempadan semula daerah mengundi kelak.

Perubahan semula SPR dalam memantapkan demokrasi di negara ini merupakan antara intipati yang dicadangkan oleh Saifuddin, yang menjadi panel dalam forum ‘Ke Arah Demokrasi pasca era PRU13”.

Beliau turut menggesa ahli politik untuk menjadi lebih ‘bi-partisan’ dengan menampilkan keterbukaan dalam parlimen dan juga ahli jawatankuasanya serta kebebasan kepada media.

Saifuddin berkata jika pembangkang mengumumkan satu ‘Kabinet Bayangan’ BN pasti akan berada dalam keadaan ‘kesusahan’ pada pilihan raya yang akan datang.

Dalam PRU13 yang lalu, pembangkang dan masyarakat termasuk juga pemerhati pilihan raya BERSIH, mahukan bukan sahaja Abdul Aziz tetapi timbalannya Wan Ahmad Wan Omar meletak jawatan.

Ini berikutan terdapat dakwaan bahawa mereka adalah anggota UMNO namun dakwaan tersebut dinafikan oleh mereka.

Abdul Aziz menjadi Pengerusi SPR pada Disember 2008 sementara Wan Ahmad pula dilantik menjadi timbalan pengerusi pada 2004.