PERTAMA kali ia dicadangkan pada tahun 2000 oleh seorang arkitek dari China, dikenali sebagai Yu Kongjan.

Ideanya adalah untuk mewujudkan bandar dipanggil 'sponge cities' sebagai solusi kepada bencana banjir yang kerap melanda negara itu.

Konsep 'sponge cities' adalah untuk mengekalkan, membersihkan dan menggunakan semula air hujan secara efektif.

Ini bermaksud, air hujan itu akan dikumpul di bawah tanah dan dikitar semula sebelum dialirkan ke kawasan-kawasan yang dikenal pasti memerlukan bekalan air bersih itu.

Namun, hanya selepas 14 tahun, konsep itu dipromosikan secara rasmi dan diterima oleh kerajaan China sebagai modul pengurusan bagi menangani banjir di negara itu.

Menurut Prof Madya Dr Faith Chan dari Universiti Nottingham Ningbo China, konsep  'sponge cities' dapat memberi manfaat berganda bagi membantu meningkatkan daya tahan iklim.

Kajian kes di Hong Kong

Taburan hujan purata tahunan Hong Kong adalah 2,400 milimeter dan jumlah itu dijangka meningkat susulan perubahan iklim dan kitaran taufan tropika yang semakin kerap.

Pelbagai langkah dilaksanakan kerajaan Hong Kong untuk menangani banjir di negara itu sejak 1989.

Konsep 'sponge cities' dimasukkan dalam laporan kelestarian bandar bagi tahun 2016-2017 sebagai sebahagian usaha mitigasi pengadaptasian perubahan iklim.











Susulan itu, kerajaan Hong Kong mula melaksanakan beberapa projek menggunakan kaedah itu,

Antaranya, pembinaan fasiliti loji simpanan di  Happy Valley yang mampu 'menadah air' di bawah permukaan tanah sebanyak 60,000 meter kubik persegi, bersamaan dengan 24 kolam renang.

Air yang ditadah itu digunakan untuk penyiraman, pengepaman tandas dan tujuan pembersihan.

Susulan keberkesanannya, kerajaan Hong Kong memutuskan untuk mengadaptasi modul tersebut dalam projek-projek perumahan akan datang.

Dengan berkonsepkan taman tema, ia dapat memulih ekologi dan menyerap air hujan secara berkesan.

Mengambil contoh sebuah taman tema di wilayah barat Hong Kong, Chan berkata, taman tema itu tidak hanya berfungsi sebagai tapak penyimpanan air, malah air hujan yang disimpan itu dapat membantu menyahkan pencemaran yang disebabkan debu.

Cabaran

Menurut Chan, antara cabaran utama pelaksanaan 'sponge cities' adalah kekangan kewangan dan ruang tanah yang terhad.

Ini kerana, Hong Kong mempunyai pasaran tanah yang paling mahal di dunia. 

'Sponge cities' memerlukan penggunaan teknologi dan kemahiran yang tinggi.

Untuk mencapai keberkesanan yang tinggi, Hong Kong sepatutnya mempertimbangkan untuk bekerjasama dengan China kerana taufan bukan hanya melanda Hong Kong sahaja sebaliknya turut melanda China.

Menurut sebuah reka bentuk, beberapa bandar di Afrika menyatakan minat untuk mengadaptasi konsep 'sponge cities'.