MELAKA: Solat tarawih berjemaah masjid dan surau di Melaka pada Ramadan tahun ini, dibenarkan namun ketetapan prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai akan dikeluarkan pekelilingnya seminggu sebelum umat Islam kehadiran bulan tersebut.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Che Sukri Che Mat berkata SOP solat tarawih di negeri itu masih dalam perbincangan dan ia akan mengambil kira situasi semasa, dan ketetapannya akan diputuskan menerusi mesyuarat majlis kerajaan negeri (MMKN) akan datang.

"Ia masih kekal seperti mana SOP sedia ada sekarang yang melibatkan 185 masjid dan 170 surau seluruh negeri yang dibenarkan untuk mengadakan solat Jumaat.

"Namun apa yang kita tekankan ialah mengekalkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan mengimbas aplikasi MySejahtera," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Pascaperkahwinan Cinta Penghujung Senja di Bukit Katil di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai segala aktviti termasuk mengadakan jamuan di masjid dan surau sepanjang Ramadan, juga akan diputuskan dalam pekeliling tersebut selepas meneliti semua aspek.

Sementara itu katanya solat berjemaah di masjid dan surau ketika ini turut kekal mengunakan SOP sedia ada, namun meminta jemaah yang dikesan kontak rapat kepada pesakit positif COVID-19 supaya tidak hadir untuk solat berjemaaah bagi mengelakkan tercetusnya kluster di masjid dan surau di negeri ini.

-- BERNAMA