KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perlombongan unsur nadir bumi (REE) dijangka dikuatkuasakan tahun ini, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata satu Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral akan diadakan pada 2 Okt ini bagi membincangkan perkara berkaitan cadangan perluasan pemakaian SOP berkenaan ke seluruh negara.

"SOP REE sudah diluluskan di peringkat Kabinet dan telah pun dibawa ke Majlis Mineral Negara, saya diberikan tanggungjawab untuk pengerusikan satu mesyuarat jawatankuasa teknikal bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang berkaitan.

"SOP tersebut satu bahagiannya memberi fokus kepada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, manakala lagi satu bahagian untuk kita pastikan bagaimana boleh kembangkan di peringkat pertengahan dan hiliran, yang ini melibatkan Kementerian Ekonomi, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta lain-lain yang berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Naratif Ekonomi MADANI dan Dialog Belanjawan 2024 NRECC di sini hari ini.

Semalam, Nik Nazmi dilaporkan berkata Kabinet telah meluluskan SOP berkaitan Dasar Mineral termasuk REE bagi memastikan pengeksploitasian hasil mineral itu dibuat secara lestari serta mampan, dan ketika ini pihaknya sedang menunggu dasar itu bagi membolehkan kerajaan negeri menggunakan REE dengan sebaik mungkin.

Mengenai pembangunan dasar larangan eksport bahan mentah nadir bumi bagi mengelakkan eksploitasi dan kehilangan sumber seperti yang diumumkan Perdana Menteri Isnin lepas, Nik Nazmi berkata meskipun jumlah eksport nadir bumi mentah secara sah sebelum ini adalah kecil, nilainya adalah sangat tinggi.

Katanya nilai mineral yang tinggi itu menyebabkan kerajaan mengambil langkah mengkaji kaedah memproses bahan mentah nadir bumi agar Malaysia dapat memperoleh manfaat keuntungan yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata penggunaan tenaga nuklear sebagai tenaga boleh baharu negara masih di peringkat perbincangan memandangkan ia bukan mudah untuk dilakukan kerana melibatkan dasar keselamatan dan kesihatan.

"Ketika ini dasar kita masih tidak menggunakan tenaga nuklear, tetapi kita sedia maklum bercakap tentang peralihan tenaga dan sifar bersih 2050 kita tidak boleh menolak nuklear sebagai satu pilihan, namun ia perlukan kajian yang teliti dan mendalam.

"Dahulu memang banyak institusi lakukan kajian tentang nuklear ini kerana untuk buat bukan semudah hari ini kata ya esok kita buat. Ia melibatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kerajaan Amerika Syarikat dan sebagainya, ia ambil masa yang lama. Kita ada kepakaran dan ada rakyat Malaysia berkelulusan dalam bidang nuklear yang hari ini mereka buat kerja yang tiada kaitan dengan kepakaran mereka," katanya.

Mengenai Belanjawan 2024, Nik Nazmi berkata antara perkara yang diberikan fokus ialah mengenai peralihan tenaga, perubahan iklim dan pemuliharaan biodiversiti.

"Soal keduanya mengenai aspek untuk meningkatkan darjat hidup rakyat dan menaikkan siling, ini juga kita telah utarakan kepada Kementerian Kewangan. Kita sedang tunggu masa untuk duduk dengan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan bagi memuktamadkannya," katanya.

-- BERNAMA