SOP Hari Gawai sama seperti sambutan perayaan lain - Ismail Sabri

Astro Awani
Mei 31, 2020 17:33 MYT
Ismail Sabri menegaskan kunjung-mengunjungi sempena Hari Gawai hanya dibenarkan pada hari pertama sahaja.
Sama seperti perayaan Aidilfitri, aktiviti kunjung-mengunjung sempena Hari Gawai hanya dibenarkan pada hari pertama sahaja dengan had maksimum 20 individu.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang sambutan itu.
"Sama seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamatan sebelum ini, tentunya sambutan Hari Gawai amat berbeza dari tahun-tahun sebelumnya.
"Ingin diingatkan sambutan hanya dibenarkan untuk hari pertama sahaja dengan kapasiti 20 ahli keluarga, sehari sahaja," katanya pada sidang akhbar di Putrajaya di sini, pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, kapasiti lawatan hanya dihadkan kepada ahli keluarga di rumah serta jiran berhampiran sahaja.
"Sebaiknya mereka yang berada di dalam rumah," ujarnya.
Katanya, wabak COVID-19 telah mengubah cara persiapan dan sambutan perayaan-perayaan ini.
"Kita semua harus mengadaptasi diri kepada normal baharu dan juga perlu memastikan disiplin diri sentiasa diamalkan bagi sama-sama membanteras pandemik ini," jelasnya.
#20 orang #Aidilfitri #CMCO #COVID-19 #Hari Gawai #hari pertama sahaja #ismail sabri yaakob #kunjung #Pesta Kaamatan #PKP #PKPB #SOP #ziarah
;