Ketika pelbagai pihak menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir, terutama di Pantai Timur, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyediakan satu sistem derma yang menggunakan SMS.

SMS13999: Tabung Kemanusiaan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (TKKMM) dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada 10 Disember lalu.

TKKMM tidak terhad untuk memberikan bantuan kepada mangsa banjir sahaja. Ia juga akan digunakan untuk mangsa-mangsa bencana alam lain yang berlaku di masa hadapan.

Tiada sasaran yang ditetapkan untuk kempen ini tetapi tempoh menderma kepada mangsa banjir akan berakhir pada 10 Januari 2014 depan.

Cara untuk menderma: Taip BANJIR (jarak) 1/3/5/10/15/20 untuk sumbangan bernilai RM1, RM3, RM5,RM10, RM15 atau RM20 dan dihantarkan kepada 13999.

Menurut SKMM, setiap nilai derma akan disalurkan sepenuhnya kepada tabung berkenaan tanpa potongan tambahan daripada amaun yang diderma.

Sejak dilancarkan, jumlah kutipan terkumpul kini sudah mencecah RM54,000.

“Orang ramai yang ingin menderma ke TKKMM ini tidak perlu risau dengan agihan sumbangan berkenaan. Ini kerana, semua transaksi akan diuruskan secara telus,” menurut SKMM.