Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kesal dengan tajuk utama dan artikel yang disiarkan dalam beberapa portal berita dalam talian yang jelas telah menyimpang daripada konteks sebenarnya.

Sebab utama pengarang-pengarang portal berita dalam talian dipanggil ke SKMM Khamis adalah untuk mengingatkan mereka bahawa sebarang pemberitaan yang palsu atau tidak tepat, ataupun penyebaran maklumat palsu, boleh menggugat keamanan dan keharmonian sesebuah negara, terutamanya ekonomi dan keselamatan nasional. Justeru, SKMM bertegas akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melaporkan sesuatu laporan yang palsu atau tidak tepat, ataupun menyebarkan maklumat yang belum ditentukan kesahihannya.

Ini termasuk juga sebarang kandungan yang disiarkan di media sosial dan juga tindakan memaparkan semula laporan-laporan atau maklumat daripada sumber lain yang belum ditentukan kesahihannya kerana tindakan sedemikian berkemungkinan melanggar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pengarang-pengarang portal berita dalam talian telah dimaklumkan bahawa The Sarawak Report telah disekat oleh SKMM di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, setelah menerima aduan dan maklumat daripada orang awam.

Sehubungan itu, kenyataan oleh Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin yang disiarkan dalam beberapa portal berita dalam talian, perlu dilihat dari konteks bahawa ia adalah siasatan berterusan yang dijalankan oleh polis dan Pasukan Petugas Khas dan bukannya pengesahan bahawa tidak ada bukti laporan The Sarawak Report adalah palsu. Dalam hal ini, tajuk-tajuk utama dan artikel oleh beberapa portal berita dalam talian berhubung isu ini, adalah kurang tepat.

Mana-mana pihak yang didapati memaparkan semula bahan daripada The Sarawak Report, yang disekat, adalah juga tertakluk kepada tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pengarang-pengarang portal berita dalam talian yang hadir di SKMM hari ini termasuk pengarang dan wakil-wakil dari The Malaysian Insider, Malaysiakini, Digital News Asia, Astroawani.com, NST Online, Sinar Online, The Rakyat Post, Utusan Online, The Malaysian Reserve Online dan The Star Online.