Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin berkata skim itu dirangka untuk menangani isu berkaitan kehilangan modal dan pendapatan yang disebabkan oleh faktor seperti banjir, kemarau, ribut, penyakit tumbuhan dan serangan makhluk perosak.
"Skim ini mempertingkatkan kaedah Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) sedia ada dengan jumlah pampasan lebih tinggi iaitu sehingga RM3,000 setiap hektar semusim, berbanding sehingga RM1,800 setiap hektar semusim melalui kaedah TBTP," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang ingin tahu perkembangan terkini berhubung cadangan Skim Insurans Takaful Agromakanan pernah diperkenalkan kerajaan sebelum ini yang menjadikan sektor beras dan padi sebagai projek rintis.
Seperti TBTP, Skim Takaful Tanaman Padi itu terbuka kepada semua pesawah berdaftar dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sekali gus memudahkan proses pendaftaran.
Beliau berkata menerusi skim berkenaan, proses kelulusan tuntutan akan lebih efisien dan mengurangkan bebanan kewangan kerajaan dengan mengambil kira keadaan cuaca global yang ekstrem dan tidak menentu.
-- BERNAMA