Ringkasan AI
- Beban Sistem Kesihatan Awam:Kos rawatan tinggi memaksa rakyat ke hospital kerajaan, yang sudah sesak.
- Cadangan IRDP: Kawal caj rawatan, buat sistem penarafan hospital, tingkatkan kerjasama awam-swasta.
- Langkah Jangka Panjang: Guna sistem harga berasaskan nilai, libatkan semua pihak cari solusi.
Ketua Pegawai Eksekutif IRDP, Sheikh Khuzaifah Sheikh Abu Bakar berkata, situasi ini bukan sahaja membebankan pemegang polisi insurans tetapi ia juga akan menambah beban kepada sistem kesihatan kerajaan.
Isu Utama: Beban Pada Sistem Kesihatan Awam
Kenaikan premium insurans menyebabkan ramai rakyat menghentikan langganan polisi mereka.
Hal ini secara tidak langsung memaksa mereka mendapatkan rawatan di hospital kerajaan, yang kini sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk kekurangan doktor.
Menurut Sheikh Khuzaifah, situasi ini memerlukan campur tangan segera kerajaan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
Cadangan IRDP
IRDP mencadangkan beberapa langkah untuk menangani masalah ini:
1. Pengawalan Caj Rawatan
Kerajaan perlu meminda Akta Perkhidmatan Hospital Swasta untuk menetapkan kadar maksimum bagi caj rawatan selain konsultasi doktor, seperti caj penginapan dan penggunaan alat perubatan.
2. Sistem Penarafan Hospital Swasta
Memperkenalkan sistem tiering seperti penarafan hotel bagi membezakan hospital berdasarkan tahap perkhidmatan, membolehkan syarikat insurans menawarkan pelbagai pakej berdasarkan akses kepada hospital tertentu, sesuai dengan kemampuan pelanggan.
3. Kerjasama Awam-Swasta
Mempergiatkan inisiatif seperti hospital rakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyediakan rawatan mampu milik kepada golongan berpendapatan rendah.
Cabaran dan Masa Depan
Sektor hospital swasta di Malaysia perlu mencapai keseimbangan antara mengejar keuntungan dan memastikan akses kepada rawatan yang adil bagi rakyat.
Sheikh Khuzaifah menekankan keperluan peralihan kepada sistem caj berasaskan nilai atau value-based pricing sebagai langkah jangka panjang.
Beliau juga menyeru agar kerajaan, syarikat insurans, dan hospital swasta bekerjasama untuk mewujudkan penyelesaian yang seimbang demi kepentingan semua pihak.
* Artikel ini ditulis oleh Muhammad Daniel Eimran Ahmad Saiful Nizam, Mohamad Fartul Iqwan Abdullah, Nur Aqilah Nasuha Mazlan dan Gan Phei She.
* Penulis merupakan peserta “The Collision Room” Astro AWANI iaitu sebahagian daripada Project Sigma, sebuah inisiatif global oleh Google News Initiative (GNI).