Sistem pengairan sungai yang lemah dikenal pasti antara punca banjir kilat yang disifatkan terburuk di beberapa kampung di Teluk Bahang, pada Isnin.

Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Hilmi Yahaya memaklumkan, selain faktor hujan lebat dan air laut pasang, saluran yang tersumbat di hulu sungai menyebabkan air tidak dapat mengalir ke laut seterusnya melimpah ke kawasan kampung.

"Insfrastruktur kita agak lemah sedikit, dia ada dua sungai, satu di Teluk bahang, mengalir terus ke empangan.

"Teluk ini airnya mengalir ke laut, apabila air pasang, air tidak dapat mengalir ke laut, sebaliknya melimpah ke kampung," jelas Hilmi ketika melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara di Balai Rakyat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada Isnin malam.

FOTO: Teluk Bahang dilanda banjir kilat


Hilmi dalam pada itu mahu kerajaan negeri menyegerakan pembesaran sungai, bagi mengelak banjir daripada berulang.

"Kita dah buat pengaduan, minta bantuan daripada pihak negeri dan pusat untuk membina calvet, dan mengelak ia tersumbat, ia melibatkan kos RM15 juta, kita akan cuba dapatkan bantuan," kata Hilmi.

Sementara itu, penduduk merayu supaya masalah mereka mendapat perhatian.

"Sungai mana yang sempit, kami minta perbesarkan, kita tidak mau tiap-tiap kali musim sungai makin lama makin kecil," tegas Sarina Sakir Thamby.

Dalam pada itu, sebuah lagi pusat pemindahan sementara dibuka pagi ini di daerah Barat Daya bagi menempatkan mangsa banjir di Teluk Kumbar dekat sini berikutan hujan yang kembali lebat di kawasan itu.

Pusat pemindahan sementara di Dewan Gerakan Masyarakat Teluk Kumbar itu menempatkan 19 orang daripada lapan keluarga.

Menurut Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) daerah Barat Daya, setakat pukul 6.15 pagi ini, seramai 30 mangsa banjir daripada 13 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara.

Sebelas orang daripada lima keluarga ditempatkan di Perpustakaan Komuniti Siber Ilmu, Teluk Bahang manakala selebihnya di Teluk Kumbar.

Hujan kembali lebat di Teluk Kumbar dan Teluk Bahang awal hari ini dengan air laut pasang.

Cuaca keseluruhan di Pulau Pinang pagi ini mendung dengan hujan yang sesekali lebat.

Hujan lebat sejak pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah di Pulau Pinang termasuk Bayan Lepas, Batu Maung, Relau dan Teluk Bahang serta Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dilanda banjir.