Seorang lelaki berusia 48 tahun disahkan dijangkiti virus Zika di Singapura.

Ia menjadikan Singapura sebagai negara kedua di rantau Asia Tenggara dilaporkan terlibat dengan kes itu.

Kementerian Kesihatan dan Agensi Persekitaran Kebangsaan Singapura mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan.

Lelaki itu adalah penduduk tetap Singapura dan pernah mengembara ke Sao Paulo, Brazil dari 27 Mac hingga 7 Mei lalu.

Dia dikatakan mengalami demam dan ruam sejak Selasa dan dimasukkan ke Hospital Mount Elizabeth Novena serta dikuarantin.

Hasil ujian yang dijalankan mendapati dia positif Zika.

Pesakit berkenaan akan dipindahkan ke pusat penyakit berjangkit di Hospital Tan Tock Seng untuk rawatan dan pengasingan.