GEORGE TOWN: Sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran tumpas selepas Polis Pulau Pinang menahan enam lelaki dan merampas dadah syabu bernilai RM 3.87 juta dalam dua serbuan di negeri itu pada Isnin.

Rampasan dibuat menerusi serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontijen Pulau Pinang dengan kerjasama Pasukan Marin Wilayah Satu, Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan pertama dijalankan di jeti pendaratan ikan di Sungai Acheh, Balik Pulau pada jam 2.30 petang.

Dalam serbuan itu, polis berjaya menahan lima lelaki terdiri daripada dua warga tempatan dan tiga warga asing bersama dadah seberat 107.5 kilogram (kg) dalam 100 bungkusan teh yang ditemukan dalam bot gentian kaca di jeti berkenaan.

Siasatan awal pihaknya mendapati sindiket berkenaan menjadikan lokasi tersebut sebagai ‘port’ sebelum bekalan dadah diseludup ke negara luar.

Susulan penahanan lima lelaki itu, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di Bukit Tambun, Nibong Tebal, dan menahan seorang lagi suspek warga tempatan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan syabu itu.

“Serbuan kedua di SPS, kita tangkap seorang warga tempatan. Pengedaran ini (dikesan) sejak September lalu.

“Ia melibatkan pengedaran ke negara jiran, dan jumlah keseluruhan dadah (dipercayai) boleh digunakan oleh seramai (kira-kira) 537,500 penagih dadah,” kata Mohd Shuhaily pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang, di George Town pada Rabu.

Selain dadah, pihak polis turut menyita dua buah kenderaan, dua buah motosikal dan wang tunai yang dianggarkan bernilai RM17,800.

Ujian saringan air kencing ke atas suspek berusia 30 hingga 55 tahun itu adalah negatif dan hanya seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 56(1)(b) Akta Imigresen 1956/63.

Kesemua suspek yang juga buruh itu kini direman selama tujuh hari bermula 21 hingga 27 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 .