Hasil risikan selama tiga bulan, pihak polis akhirnya berjaya menahan dua lelaki serta merampas dadah jenis heroin seberat 9.160 kg yang dianggarkan bernilai RM3 juta dalam satu operasi Khamis lalu di Taman Jati, Rawang.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir, suspek berumur 24 dan 29 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari ketika dipercayai baru hendak mengedar dadah di sekitar kawasan itu.

Siasatan awal mendapati, terdapat satu beg berisi 20 bungkusan plastik lut sinar mengandungi dadah dipercayai heroin dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu suspek berumur 29 tahun.

“Sekiranya heroin tulen ini di bungkus semula ke dalam tiub yang lebih kecil dan dijual dengan harga RM10 bagi setiap satu, pengedar mampu meraih keuntungan sehingga RM3 juta”, kata Nordin.

Bagaimanapun ujian saringan air kencing terhadap kedua suspek mendapati, kedua-duanya negatif dadah.

Suspek yang berusia 24 tahun itu mempunyai satu rekod kesalahan jenayah lampau melibatkan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

dadah, heroin, rampasan, polis

Tambahnya, Bahagian Pelucutan Harta di bawah jabatan Siasatan Jenayah Narkotik turut menyita kira-kira RM105,000 menerusi akaun milik suspek berumur 29 tahun dan sekutunya dimana polis percaya duit itu diperolehi menerusi aktiviti pengedaran dadah.

Kedua-dua lelaki itu direman bermula 1 hingga 7 Mac untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.