AYER KEROH: Sepasang suami isteri yang merupakan sindiket curi susu formula bayi dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini.
 
Tertuduh Mohd Azlee Ibrahim, 39, dan Noor Bayah Ab Manaf, 31, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus kertas pertuduhan terhadap mereka dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh secara bersama telah mencuri 20 kotak susu jenama Enfalac bernilai RM6,747.60 yang diletakkan di rak jualan.
 

Perbuatan itu dilakukan di Pasar Raya AEON Lebuh Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah, di sini antara pukul 5 petang hingga 7.45 malam 13 Februari lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu pasangan suami isteri yang diwakili peguam Muhammad Izzudiin Ab Malek merayu hukuman ringan diberikan memandangkan tertuduh lelaki hanya bekerja di kedai cenderamata selain pasangan itu menanggung empat anak yang masih kecil dan isterinya juga sedang hamil tiga bulan.
 
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasaruddin bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal memandangkan pasangan itu bukan mencuri susu berkenaan kerana terdesak atau kesempitan wang.
 
Sebaliknya ia sudah menjadi kebiasaan memandangkan modus operandi mereka adalah mencuri dan menjual kepada individu lain.
 
Mazana pada penghakimannya kemudian menetapkan hukuman penjara selama 12 bulan daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 16 Februari 2023 lalu.