Akibat masalah keluarga, Shan (bukan nama sebenar) mula bergaul dengan rakan-rakan untuk mencari ketenangan.
Namun, kesilapan memilih kawan menyebabkan pemuda berusia 20 tahun itu terjebak dalam kancah gejala sosial.
Dia kini sedang menjalani hukuman atas kesalahan membunuh.
"Bapa saya selalu gaduh mak saya. Saya tak suka duduk rumah, saya keluar lepak dengan kawan tercampur golongan libat gejala sosial.
"Saya campur dengan mereka, saya ikut apa mereka buat seperti minum arak. Pada suatu hari masa mabuk, kami gaduh sesama kita dan saya tertikam dia dengan botol arak yang pecah," kata Shan.
Kini sudah menjalani hukuman penjara 2 tahun 8 bulan, Shan masih menunggu kesnya dibicarakan di mahkamah.
Sementara menunggu, dia kini menumpukan perhatian sepenuhnya untuk menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Integriti Kajang iaitu sekolah khas bagi banduan juvana.
Bagi Mohamad (bukan nama sebenar) di sekolah itulah dia belajar berdikari.
"Dekat sini banyak belajar macam dekat luar sebelum ini tak dapat pengalaman seperti macam mana tentukan masa bangun tidur, buat kerja, sembahyang dan sebagainya.
"Di sini juga saya belajar macam fikir masa depan. Kat sini baru nak fikir kat luar tak terfikir pun benda-benda macam ini," kata Mohamad.
Tinggal 5 bulan lagi sebelum dibebaskan, dia berharap dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana sekiranya mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.
Seperti Mohamad, Shan sudah bertaubat dan ingin menjadi insan berguna kepada masyarakat.
"Mak saya selalu datang jumpa dia nangis saya sedar sendiri. Saya sudah insaf. Guru di penjara ini juga selalu mendorong kami ke arah kecemerlangan," kata Shan.
Kini Shan dan Mohamad adalah antara 2,429 banduan muda yang menemui erti hidup baru melalui program pemulihan banduan.
Di sebalik tirai besi di Sekolah Integriti Kajang juga, banduan-banduan muda dilengkapi dengan ilmu pengetahuan selain kemahiran yang berguna.
Menurut penyelia sekolah, Suriah Haji Awang Chik, walaupun rata-rata sudah cukup dewasa, ada yang masih tidak mendalami nilai serta amalan rutin kehidupan.
"Kita dapati apabila kita perkenalkan sesuatu perkara untuk dicuba pelajar tersebut mereka sangat cepat dapat ikuti arahan mereka mempunyai bakat dalam pelbagai bidang," kata Suriah.
Menurut Penguasa Penjara Kajang, Ranjit Singh, di sekolah itu juga ada di kalangan banduan yang mempelajari asas membaca, menulis dan mengira, 3M, pelajaran yang diajar guru semasa di sekolah rendah.
"Ada seorang budak, dia masuk dalam penjara, dia tidak tahu menulis mengira, dia masuk belajar masuk SRP, SPM sehingga ke peringkat universiti dan konvo baru-baru ini di Universiti Malaya, dia telah mendapat ijazah dalam pengurusan perniagaan." kata Ranjit.
Dari segi pencapaian akademik, Suriah memaklumkan jumlah banduan yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didapati semakin meningkat.
"Tahun demi tahun kita nampak peningkatan pencapai peperiksaan awam di samping jumlah pelajar berminat menawar diri sukarela duduki peperiksaan juga meningkat.
"Pada 2011, 12 calon yang menduduki peperiksaan SPM, manakala pada 2013, ada 14 orang dan tahun ini seramai 24 calon yang akan menduduki SPM.
"Keputusan mereka juga sangat memberansangkan dan ibu bapa sangat teruja apabila mendapat tahun anak mereka diterima atau layak menduduki peperiksaan," kata Suriah.
Malah pihak sekolah juga berjaya menghasilkan calon dapat keputusan baik yang kini melanjutkan pelajaran di peringkat IPTA dan IPTS selepas dibebaskan.
Tambah Suriah, buat pertama kalinya sekolah berkenaan juga akan memperkenalkan program temu mesra bersama ibu bapa banduan.
"Walaupun di sekolah harian, itu adalah program biasa di mana ibu bapa datang untuk melihat kad kemajuan anak-anak tetapi di penjara buat julung kalinya ia diadakan dan mendapat sambutan sangat memberangsangkan di mana 80 peratus ibu bapa hadir untuk calon SPM.
"Yang tidak hadir memang tidak dapat sebab masalah keluarga atau penempatan mereka jauh," kata Suriah.
Ia sekali gus membuktikan jika diberi peluang, mereka juga boleh mencapai potensi sepenuhnya dan dipulihkan sebelum kembali kepada masyarakat.
Masyarakat turut memainkan peranan penting dalam pemulihan banduan di mana kadar residivis atau kes banduan berulang masuk penjara didapati berkurangan apabila bekas banduan berkenaan mendapat sokongan masyarakat.
Tahun lalu, seramai 6,769 orang iaitu 7.61 peratus banduan yang mempunyai kes berulang atau residivis berbanding 7.97 peratus pada 2012.
Menurut Ranjit yang telah berkhidmat di penjara Kajang lebih 10 tahun, selain faktor persekitaran sosial, kurangnya sokongan daripada keluarga dan masyarakat menjadi antara punca banduan berulang masuk penjara.
"Kebanyakan saya tengok yang ulang balik masuk penjara adalah kebanyakan disebabkan tidak mendapat perhatian keluarga.
"Maknanya mereka keluar penjara, keluarga tidak ambil tahu pasal mereka dan mereka terlibat balik dengan kawan-kawan dan di situ rosak balik dan masuk balik dalam penjara," jelas Ranjit.
Namun Pengerusi Malaysia Community Crime Care (MCCC), Tan Sri Musa Hassan melihat hasil daripada program pemulihan dan kemahiran dijalankan di penjara, kadar residivis didapati semakin berkurangan.
"Kita ada buat kajian kalau banduan diberikan kemahiran-kemahiran tertentu, tidak ada sesiapa orang nak jadi penjenayah.
"Mereka menjadi penjenayah mungkin sebab terpaksa atas faktor kesempitan hidup atau salah pilih kawan dan terlibat jenayah. Mereka bukan dilahirkan penjenayah. Semua dapat dibaiki," kata Musa.
Sehubungan itu, MCCC juga bekerjasama dengan Jabatan Penjara untuk mewujudkan program pensijilan latihan industri dan transformasi akhlak (PELITA) yang bakal dilancarkan tidak lama lagi bagi menawarkan sijil kemahiran kepada bekas banduan.
Namun, Ranjit melihat kejayaan fasa seterusnya bagi banduan ini yang akan dibebaskan kelak, bergantung kepada sokongan masyarakat.
"Jangan disebabkan dia lakukan kesalahan kecil seolah-olah kita dia label sebagai penjenayah seumur hidup. Sampai bila dia nak tunjukkan yang terbaik?
"Dalam penjara dia boleh buat terbaik. Masyarakat juga main peranan beri peluang remaja apabila dia keluar untuk buktikan bahawa dia pun boleh menyumbang kepada masyarakat.
"Kalau masyarakat semua tidak beri peluang kepada dia pemikirannya `tak payah buat baik buat jahat sahaja saja macam ini'," kata Ranjit.
Turut senada, Musa yang juga bekas ketua polis negara melihat sekiranya banduan yang telah dipulihkan tidak diterima semula dalam masyarakat, ia bakal membawa kesan lebih buruk.
"Masyarakat perlu terima mereka semula walaupun ada stigma bekas banduan kita perlu beri peluang untuk jalankan kehidupan. Kalau tidak mereka akan sentiasa terlibat dalam jenayah malah mereka akan jadi lebih tegar lagi kerana masyarakat tidak mahu terima mereka lagi," jelas Musa.
Malaysia mempunyai kira-kira 47,921 tahanan penjara di seluruh negara, di mana 2,429 daripada mereka terdiri daripada banduan muda.
Tan Su Lin
Wed Nov 05 2014
Di sebalik tirai besi di Sekolah Integriti Kajang, banduan muda dilengkapi dengan ilmu pengetahuan selain kemahiran yang berguna.
Jual Saham MAHB: Langkah tidak adil, bertentangan kepentingan negara - Hamzah
Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, hari ini menyatakan bantahan tegas terhadap cadangan penjualan saham Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) kepada pihak luar.
Dua maut motosikal terbabas di lebuh raya
Dua maut motosikal terbabas di lebuh raya
Penganjur mohon maaf, dikompaun RM10,000
Penganjur majlis makan malam sebuah syarikat perlombongan yang didakwa menampilkan persembahan tarian mencolok mata di Tanah Merah, Sabtu lalu, dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 oleh Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM).
Kerajaan mulakan kajian semula anti lambakan ke atas import besi
Kerajaan telah memulakan kajian semula pentadbiran terhadap duti anti lambakan yang dikenakan terhadap import besi atau keluli bukan aloi gegelung gulungan sejuk.
Agong, Permaisuri ucap selamat Hari Krismas
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Krismas kepada masyarakat beragama Kristian di Malaysia.
Suri rumah rugi RM147,753 terperdaya kerja dalam talian
Seorang suri rumah kerugian RM147, 753 selepas menjadi mangsa penipuan tawaran kerja sambilan menerusi aplikasi media sosial.
Tsunami 20 tahun: Aceh siap siaga dengan ilmu bencana dan kearifan lokal
Tsunami yang melanda aceh pada 26 Disember 2004 meragut lebih 130 ribu jiwa, menghancurkan rumah-rumah, infrastruktur awam, serta merta mengubah cara hidup masyarakatnya.
Encyclopedia Britannica kini menjadi sebuah syarikat AI
Britannica kini menawarkan perisian pendidikan dan telah memasuki arena AI untuk terus relevan, dengan chatbot AI yang menyokong Bahasa Inggeris.
Kurangkan kemalangan melalui pendidikan berterusan
Profesor Dr Rozmi Ismail, memberitahu, insiden kemalangan jalan raya akibat kenderaan lain boleh dikurangkan melalui pendidikan atau advokasi berterusan dan aktiviti penguatkuasaan.
Contohi Jepun pantau keselamatan pemanduan kenderaan berat
Malaysia seharusnya mencontohi Jepun yang menekankan keselamatan pemanduan kenderaan berat di lebuh raya termasuk pemantuan ketat dalam kalangan pemandu.
Sinar di sebalik tirai besi
Di sebalik tirai besi di Sekolah Integriti Kajang, banduan muda dilengkapi dengan ilmu pengetahuan selain kemahiran yang berguna.