Polis sedang mengesan seorang wanita warga Indonesia yang disyaki menculik kanak-kanak disleksia berusia 12 tahun.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, kehilangan mangsa dan wanita itu disedari kira-kira pukul 5 pagi Selasa selepas suspek diberitahu akan dihantar ke Kedutaan Indonesia.

"Ibu kepada kanak-kanak berkenaan telah mengambil suspek yang ketika itu bersendirian di hadapan hentian bas Subang Parade pada tengah malam.

"Atas rasa simpati terhadap suspek, dia telah dibawa pulang ke rumahnya di SS19 untuk ditumpangkan sementara waktu sebelum diserahkan kepada pihak Kedutaan Indonesia," katanya kepada Astro AWANI.

Menurutnya, suspek hanya memperkenalkan diri sebagai Azizah berusia 18 tahun dan berasal dari Sumatera, Indonesia.

"Suspek juga memaklumkan dia tidak mempunyai telefon bimbit dan pasport," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik orang di bawah penjagaan yang sah.