SEREMBAN: Pasangan suami isteri masing-masing didenda RM24,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan menyimpan sembilan ekor kura-kura spesies terkawal dan dilindungi.


Ringkasan AI
  • Pasangan suami isteri didenda RM24,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan menyimpan sembilan ekor kura-kura spesies terkawal dan dilindungi tanpa lesen.
  • Mereka didakwa menyimpan kura-kura katub betina (Cuora amboinensis), kura-kura African Spurred Tortoise (Geochelone sulcata), dan kura-kura telinga merah (Trachemys scripta).
  • Kesalahan ini didakwa di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), dengan hukuman denda maksimum sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, bergantung kepada pertuduhan.


Menurut pertuduhan pertama, Lee Mun Heng, 65, dan isterinya Lim Chai Hak, 50, didakwa menyimpan seekor kura-kura katub betina (Cuora amboinensis) tanpa lesen iaitu hidupan liar yang dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Pertuduhan kedua dan ketiga pula mereka didakwa menyimpan tiga ekor kura-kura katub dan dua ekor kura-kura African Spurred Tortoise (Geochelone sulcata).

Pasangan itu turut didakwa menyimpan tiga ekor kura-kura telinga merah (Trachemys scripta) iaitu spesies terkawal di bawah Jadual Kelima akta yang sama.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis kediaman di Green Street Homes, Seremban 2 di sini pada 9.30 pagi pada 10 Nov 2022.

Mengikut fakta kes, mereka memelihara kura-kura itu sejak tiga tahun lepas dengan ada antaranya dibeli daripada penjual melalui Facebook.

Pertuduhan pertama dikemukakan mengikut Seksyen 62 Akta 716 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula mereka didakwa mengikut Seksyen 60(1)(a) Akta 716 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Pertuduhan keempat, mereka didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta 716 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM30,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Perhilitan Gilmoore G Bolongon manakala orang kena saman (OKS) diwakili peguam Jayaprakash Rao dan Ong Chong Ming.

-- BERNAMA