ADALAH penting supaya setiap janji manifesto yang telah dibuat sebelum Pilihan Raya Umum yang lalu dipenuhi sepenuhnya dengan segera serta dengan tanpa sebarang alasan sekiranya sebarang parti politik ingin kekal berkuasa dalam negara kita.

Jika manifesto pilihan raya tidak dipenuhi dengan segera serta sering diberi pelbagai alasan untuk tidak dilaksanakan, rakyat akan menjadi marah serta mengambil langkah untuk memilih pihak lawan apabila tibanya musim pilihan raya kelak.

Peribahasa Melayu pun ada menyebut “Kerbau dipegang tali hidungnya, manusia dipegang pada katanya (janjinya)” yang bermaksud segala janji hendaklah ditepati dan ditunaikan.

Tidak boleh wujud sebarang alasan untuk tidak memenuhi segala janji pilihan raya yang telah diberikan pada masa lalu.

Mana-mana ahli politik atau parti politik yang membuat janji-janji melalui manifesto pilihan raya perlu menanggung segala risiko serta bertanggungjawab terhadap semua janji manis yang telah dibuat oleh mereka didalam manifesto pilihan raya.

Amat menyedihkan sekiranya sebarang janji yang telah dibuat didalam manifesto pilihan raya tidak dipenuhi dan ditepati oleh mana-mana ahli politik atau parti politik setelah mereka memenangi proses pilihan raya dan memegang kuasa pemerintahan.

Tindakan untuk tidak memenuhi atau menepati segala janji yang telah dibuat atau berlengah-lengah dalam memenuhi segala janji manis yang telah dibuat didalam sesebuah manifesto pilihan raya bukan sahaja akan mengundang rasa marah para pengundi khususnya pengundi yang telah memberi undi kepada ahli politik serta parti politik yang terlibat malah pada masa yang sama juga menunjukkan dengan jelas sikap tidak hormat mereka terhadap para pengundi yang telah memberi kepercayaan dan undi kepada mereka berdasarkan janji-janji manis yang telah dibuat di dalam sesebuah manifesto pilihan raya.

Manifesto pilihan raya adalah sebuah dokumen bertulis yang mengandungi pelbagai jenis janji yang bakal dipenuhi sekiranya ahli politik atau parti politik yang membuat manifesto terbabit menang dalam sesebuah proses pilihan raya.

Manifesto plihan raya selalunya dibuat setiap kali tibanya musim pilihan raya sama ada Pilihan Raya Umum (PRU) ataupun Pilihan Raya Kecil (PRK).

Manifesto pilihan raya selalunya dibuat secara ringkas dengan mengunakan bahasa yang mudah untuk difahami oleh semua pihak.

Dengan adanya manifesto pilihan raya ini, rakyat secara keseluruhannya akan mudah untuk memahami segala rancangan yang bakal dilakukan sekiranya ahli politik atau parti politik yang membuat manifesto ini terpilih atau menang dalam sesuatu proses pilihan raya.

Terdapat pelbagai jenis janji di dalam manifesto pilihan raya ini. Kesemua janji ini selalunya dilihat sebagai “janji manis” sewaktu pilihan raya yang digunakan untuk memenangi hati rakyat terutamanya hati pengundi.

Antara janji yang sering dilemparkan adalah yang berkaitan dengan janji untuk mengurangkan beban atau masalah kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat, janji untuk memperbaiki keadaan ekonomi, janji untuk memberi pelbagai jenis bantuan sosial, janji untuk meningkatkan tahap serta peluang pendidikan, janji untuk menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih baik dan macam-macam jenis janji lagi.

Pengundi selalunya akan memberi undi mereka kepada mana-mana ahli politik atau parti politik yang menawarkan janji terbaik melalui manisfesto pilihan raya yang dikeluarkan oleh mereka.

Namun amat sedih untuk diketahui, status sesebuah manifesto pilihan raya hanyalah sekadar janji manis yang tidak terikat dengan undang-undang.

Ini bermakna, ahli politik atau parti politik yang membuat manisfesto ini tidak perlu menunaikan janji yang telah dibuat setelah mereka menang pilihan raya dan mendapat kuasa untuk memerintah negara.

Jika kita masih ingat pada tahun 2013 yang lalu, pihak Mahkamah Rayuan telah memutuskan bahawa sebuah manifesto pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan secara sah.

Berikutan keputusan penting itu, pihak mahkamah membatalkan saman sivil yang difailkan oleh 2,020 ibu tunggal di Selangor berhubung pembayaran elaun RM100 kepada mereka seperti terkandung dalam manifesto pada pilihan raya umum 2008.

Didalam kes terbabit, hakim bersetuju dengan hujahan bahawa manifesto itu bukan sebuah dokumen yang terikat di sisi undang-undang.

Seseorang yang tidak berpuas hati dengan kegagalan memenuhi janji pilihan raya tidak boleh menuntut untuk menguatkuasakan manifesto tersebut.

Adalah penting supaya setiap manifesto yang dibuat oleh mana-mana ahli politik atau parti politik untuk diikat dengan undang-undang supaya tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mana-mana ahli politik atau parti politik yang tidak memenuhi, melanggari atau pun berlengah-lengah dalam memenuhi segala janji manifesto pilihan raya mereka.

Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) disarankan mengambil langkah yang proaktif dalam perkara ini.

Pihak SPR perlu mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu manifesto pilihan raya ini untuk diberikan satu kuasa undang-undang terhadapnya.

Pindaan boleh dilakukan melalui sebarang akta sedia ada seperti Akta Kesalahan Piliharaya 1954 [Akta 5] bagi menyelesaikan perkara ini.

Sekiranya manifesto pilihan raya diikat dengan kuasa undang-undang, setiap ahli politik serta parti politik akan lebih mengambil serius terhadap manifesto pilihan raya mereka serta akan menyediakan sebuah manifesto pilihan raya yang lebih realistik serta yang berdasarkan fakta dan maklumat yang sahih di masa akan datang.

Melalui langkah ini juga, hak dan kepentingan setiap pengundi dalam negara kita juga dapat dilindungi.


*Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

**Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.