JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor telah melakukan siasatan dalaman berhubung kegagalan sistem Autogate dan Kod QR di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Zon Pemeriksaan Penumpang Bas berfungsi pada pukul 12 tengah hari semalam.

Pengarah JIM Negeri Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata masalah teknikal itu berlaku di bahagian suis teras bangunan berkenaan dan ia di bawah pengurusan bangunan iaitu Syarikat TMR Urusharta (M) Sdn Bhd.

Beliau berkata tindakan serta-merta dan penambahbaikan telah dibuat dan kedua-dua sistem terbabit pulih sepenuhnya pada 6.30 petang hari yang sama.

"JIM Johor ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas komitmen yang diberikan oleh syarikat (pengurusan bangunan) dalam memastikan masalah gangguan ini dapat dipulihkan.

"Bagi memastikan kelancaran di zon itu, tindakan pemantauan akan terus dijalankan bagi memastikan gangguan sistem tidak berulang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, JIM Johor juga komited untuk sentiasa berusaha bagi memastikan kelancaran pergerakan di pintu masuk utama Malaysia dan Singapura.

-- BERNAMA