KUALA LUMPUR : Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) meminta siasatan segera dilakukan berhubung dakwaan kebocoran data pengguna.

Menterinya, Fahmi Fadzil menyifatkan ia merupakan satu dakwaan yang serius kerana melibatkan jumlah data yang banyak. 

Jelasnya, dua agensi iaitu CyberSecurity Malaysia (CSM) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) akan dipertanggungjawabkan untuk melakukan siasatan tersebut.

"Ini satu dakwaan yang serius, melibatkan jumlah data yang banyak.

"Saya akan minta CSM dan JPDP siasat, apakah benar berlaku kebocoran data melibatkan pihak-pihak berkenaan, serta mengambil tindakan berdasarkan undang-undang," jelasnya di laman Twitter.


Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan terdapat hampir 13 juta maklumat pengguna telah bocor seperti yang tular di media sosial.

Pendedahan tersebut berkaitan maklumat pengguna antaranya termasuk nama pengguna, nama bapa, tarikh lahir, alamat dan nombor kad pengenalan.