KUALA LUMPUR: Penganjuran Pameran Teknologi dan Inovasi Pertanian (Show-tech MARDI 2023) yang berakhir hari ini selepas tiga hari berlangsung berjaya menarik lebih 300,000 pengunjung, dengan anggaran jualan tunai yang dicatatkan mencecah RM2.7 juta.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Mohammad Zabawi Abdul Ghani berkata, pihak penganjur turut berjaya melaksanakan 168 padanan perniagaan dengan nilai potensi berjumlah RM15.1 juta.

“Selain itu, lebih 300 teknologi agromakanan dipamerkan, 103 teknologi dirunding di bawah pemadanan perniagaan dan sembilan memorandum perjanjian antara MARDI dengan syarikat swasta dimeterai.

“Pada masa sama, empat produk inovasi baharu dilancarkan, 28 penyerahan teknologi direalisasikan dan dua buku baharu terbitan MARDI dilancarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, beliau berucap pada majlis penutup Show-tech MARDI 2023 yang berlangsung sejak 25 Ogos di Taman Ekspo Agro Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI, Azman Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MARDI Corporation Sdn. Bhd (MARDICorp), Zaidi Shahrim.

Mohammad Zabawi menambah, penganjuran pameran itu yang bertemakan ‘Peneraju Inovasi Agroteknologi’ sangat bertepatan dengan aspirasi bagi mengangkat inovasi teknologi sebagai strategi penting ke arah menjamin bekalan makanan agar kekal cukup dan tersedia buat rakyat Malaysia.

Ujarnya lagi, kejayaan pelaksanaan aktiviti sepanjang Show-tech MARDI 2023 secara langsung telah menunjukkan pencapaian objektif penganjuran.

“Ia sebagai platform perkongsian hasil penyelidikan MARDI kepada masyarakat umum selain memberi kesedaran tentang kewujudan teknologi serta inovasi tempatan yang boleh diguna pakai di dalam sektor agromakanan negara,” ujarnya.

Show-tech MARDI 2023 memfokuskan enam kluster utama bidang penyelidikan di MARDI dengan lebih 300 Teknologi dan Inovasi Pertanian dipamerkan iaitu tanaman (hortikultur, tanaman makanan iaitu padi dan tanaman industri), ternakan, teknologi makanan, mekanisasi, pemindahan teknologi serta agropelancongan.

Dalam masa sama, ia adalah platform untuk mempamerkan dan menghebahkan teknologi dan inovasi pertanian hasil penyelidikan MARDI sejak 50 tahun yang lalu kepada masyarakat dan pemain industri.